Joachim Gunsalam Di Ambang Kekalahan


Suasana politik di Kundasang menjelang PRN semakin jelas memperlihatkan keresahan pengundi terhadap penyandang kerusi DUN, Datuk Dr Joachim Gunsalam. Lebih dua dekad memegang amanah sebagai wakil rakyat, rungutan penduduk kini semakin terbuka dan dapat didengari di pelbagai sudut, daripada warung kopi, pasar malam, pasar basah, stesen teksi, hinggalah kepada pusat pelancongan serta kalangan warga sekolah. Baca di SINI

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Supian menyuarakan kekecewaannya terhadap prestasi Joachim sepanjang empat penggal memimpin kawasan itu.

“Joachim gagal sebagai wakil rakyat. Empat penggal kita serahkan nasib kita kepadanya, tapi janji yang sama diulang setiap kali pilihan raya,” katanya.


Isu video yang tular sebelum ini yang didakwa menunjukkan Joachim berbincang tentang menerima wang menambah tekanan kepada kedudukannya. Menurut Supian, perkara itu menimbulkan kebimbangan baharu mengenai kestabilan politik kawasan tersebut.

“Kalau dia menang dan kemudian didakwa, Kundasang akan berdepan risiko pilihan raya kecil. Ini bukan perkara kecil,” tegasnya.

Beliau turut merujuk kenyataan tegas Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini bahawa kes rasuah projek lombong mineral akan disiasat hingga ke akar umbi, sekali gus mengukuhkan persepsi penduduk bahawa isu tersebut masih jauh daripada selesai. Baca penjelasan Anwar di SINI.

Kekecewaan terhadap prestasi penyandang bukanlah perkara baharu. Penduduk mendakwa pelbagai masalah asas di Kundasang tidak pernah diselesaikan meskipun kawasan itu merupakan antara destinasi pelancongan paling ikonik di Sabah.

Antara isu utama yang terus membelenggu penduduk termasuk, sekolah uzur yang memerlukan pembaikan segera, jalan raya rosak teruk dan tidak disenggara dengan baik, masalah air dan elektrik yang berlarutan tanpa penyelesaian konkrit, ketiadaan pembangunan tarikan baharu untuk sektor pelancongan dan kampung yang masih tidak mempunyai bekalan air dan elektrik walaupun selepas 20 tahun mandat diberikan.

Menurut penduduk, kelemahan perancangan dan penyampaian wakil rakyat telah menjejaskan bukan sahaja kemudahan asas, malah ekonomi setempat yang bergantung kepada pelancongan.

“Kalau Kundasang tidak dipulihkan, akhirnya Kundasang akan mati. Ekonomi kami boleh runtuh,” kata seorang pengusaha gerai pelancongan yang enggan dinamakan.

Ketika ditanya mengenai pilihan pada PRN kali ini, ramai pengundi menyatakan hasrat untuk memberi mandat kepada calon baharu demi mengembalikan kegemilangan Kundasang.

“Penggal ini, kita perlu wakil rakyat baharu supaya Kundasang kembali seperti dulu,” kata Supian yang kini menimbang dua calon iaitu Japirin Sahadi daripada Barisan Nasional (PBRS) atau rakannya, Japiril Suhaimin daripada SAPP.

Beliau menambah bahawa masa depan keluarganya bergantung kepada perubahan kepimpinan di kawasan tersebut.

“Saya harap sangat masa depan kami terjamin dan terbela.”

Gelombang ketidakpuasan hati yang semakin jelas dan isu-isu lama yang tidak pernah ditangani, kedudukan Joachim Gunsalam berada pada titik paling genting sejak beliau mula memegang kerusi DUN Kundasang. PRN kali ini bakal menjadi penentu sama ada penduduk memilih untuk mengekalkan status quo atau membuka lembaran baharu demi masa depan Kundasang.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.