Keadaan jalan uzur menuju ke sekolah terus membebankan ibu bapa yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk memastikan anak-anak mereka sampai ke sekolah dengan selamat, kata calon N36 Kundasang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, Japirin Sahadi.
Beliau berkata rungutan berkaitan jalan yang tidak disenggara bukan sahaja menjejaskan keselamatan pelajar, tetapi turut memberi tekanan kewangan kepada keluarga di beberapa kampung pedalaman yang terpaksa mengupah kenderaan khas atau membuat perjalanan jauh berulang-alik setiap hari.
Setakat semalam, Japirin yang telah melawat 11 kampung termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karagasan, Kaingaran, Mangkapa, Timbuak, Pinawantai dan Lawanan dimaklumkan penduduk ketiadaan jalan yang baik menyebabkan masa perjalanan menjadi lebih lama, sementara ibu bapa menanggung kos minyak serta penyelenggaraan kenderaan yang semakin tinggi.
“Keperluan memperbaiki jalan ini mendesak kerana ia digunakan setiap hari oleh penduduk kampung untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Semua kampung yang saya kunjungi menekankan isu jalan tidak disenggara, sempit dan rosak teruk sehingga menyukarkan pelajar untuk ke sekolah.
"SMK Kundasang di tapak baharu juga dalam keadaan tidak memuaskan dan akses jalan yang tidak sempurna hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya ketika berkempen di Dewan Komuniti Kampung Kilimu, Ranau di sini semalam.
Mengulas lanjut, Japirin turut menyifatkan kelewatan menyiapkan sekolah menengah itu sebagai satu cabaran besar kepada wakil rakyat baharu, memandangkan jarak sekolah sedia ada yang jauh memaksa pelajar melakukan perjalanan harian yang memenatkan dan menambah kos keluarga sekiranya ia mula beroperasi.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan pembaikan jalan raya dan penyelesaian projek sekolah akan menjadi antara keutamaan beliau sekiranya diberi mandat bagi memastikan pelajar di Kundasang tidak terus dibebankan oleh kelemahan infrastruktur asas.
“Jika diberi mandat, isu jalan dan pembangunan sekolah ini akan menjadi keutamaan saya untuk memastikan kesejahteraan rakyat di sini. Jalan ke sekolah adalah nadi pergerakan penduduk pedalaman. Jika akses asas pun tidak baik, bagaimana pelajar mahu belajar dalam keadaan tenang.
"Penduduk sudah terlalu lama menunggu. Keperluan ini mendesak dan perlu diberi perhatian segera. Masalah ini bukan isu kecil, sebaliknya memberi kesan langsung kepada akses pendidikan, keselamatan dan kos sara hidup," ujarnya.
Terdahulu, Japirin merupakan calon No.8 dalam senarai pencalonan bagi kerusi N36 Kundasang yang kini sedang rancak berkempen.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang memasuki hari keenam menyaksikan 10 calon mengemukakan pencalonan bagi kerusi N36 Kundasang di Dewan Masyarakat Ranau pada 15 Novembet lalu, sekali gus menunjukkan persaingan lebih terbuka menjelang hari pengundian.

Comments
Post a Comment