Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan telah menerima maklumat awal bahawa sebuah parti politik dipercayai telah menerima dana rasuah berjumlah RM350 juta bagi tujuan membeli undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung.
Sumber dalaman mendedahkan kepada bahawa modus operandi kali ini cukup licik dan tersusun. Ia melibatkan jentera parti yang diarahkan memasang bendera parti di rumah-rumah tertentu sebagai tanda pengesahan bahawa isi rumah tersebut bersetuju untuk menjual undi mereka.
Menurut maklumat, ketua keluarga dilantik sebagai ‘wakil rasmi’ bagi menerima bayaran rasuah yang dianggarkan sebanyak RM1,000 bagi setiap undi. Rasuah itu dipercayai diagihkan secara berperingkat oleh pengurus dana kempen dengan menggunakan saluran tidak rasmi untuk mengaburi siasatan pihak berkuasa.
“Ini bukan operasi kecil. Lebih 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah memulakan gerakan mengenal pasti rumah-rumah yang akan ‘dibeli’.
Mereka diarahkan memasang bendera sebagai tanda kesetiaan dan bukti kelulusan untuk bayaran,” kata sumber lapangan yang enggan dinamakan.
Difahamkan, pasukan penyiasat SPRM kini sedang memantau rapi kawasan yang menunjukkan peningkatan luar biasa pemasangan bendera parti tertentu terutamanya di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.
Operasi dijangka bermula secara agresif sejurus selepas hari penamaan calon bagi memastikan bukti transaksi rasuah dapat dikumpul dengan lebih kukuh.
Jika benar dana sebanyak ini sudah tersedia, maka PRN Sabah ke-17 akan menjadi skandal rasuah pilihan raya paling besar dalam sejarah politik Sabah.
Penganalisi politik berpendapat, strategi ini menunjukkan tahap desperasi parti tertentu untuk memastikan kemenangan mutlak, meskipun terpaksa mencemar maruah demokrasi.
“PRN kali ini bukan lagi tentang manifesto atau dasar tapi tentang siapa yang ada wang paling banyak untuk membeli masa depan rakyat,” ujarnya lagi.
SPRM dijangka akan turun ke lapangan dalam tempoh terdekat untuk menyiasat maklumat yang diterima termasuk menyoal siasat jentera yang dikenal pasti terlibat dalam pemasangan bendera rumah.
Sabah kini berdepan ujian besar dalam mempertahankan integriti pilihan raya. Soalnya, adakah undi rakyat masih bernilai atau sudah dijual dengan harga RM1,000?


Comments
Post a Comment