Benarkah Ada Salah Guna Kuasa Mengumpan Habuan Seks Dari Pejabat YB Terengganu?


Terengganu kembali digegarkan dengan dakwaan serius yang mencalar imej parti politik yang mendakwa Islam sebagai teras perjuangan apabila satu rakaman audio tersebar, memuatkan aduan seorang wanita berstatus janda yang mendakwa dirinya menjadi mangsa salah laku seorang individu dikaitkan dengan pejabat YB PAS DUN Seberang Takir.

Rakaman itu bukan sekadar khabar angin media sosial, sebaliknya mengandungi penceritaan terperinci yang menuntut penelitian awam dan tindakan berwibawa pihak berautoriti.




Menurut wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai “Nor”, beliau didatangi seorang pegawai dari pejabat YB PAS pada waktu malam dengan alasan kononnya untuk berbincang mengenai skim bantuan baik pulih rumah. Namun, pertemuan itu didakwa bertukar menjadi pengalaman yang tidak selesa apabila pegawai berkenaan dikatakan menggosok belakang badannya.

Sumber dari akaun TikTok bernama "Dark Side Terengganu" mendedahkan wanita bernama “Nor” menegaskan beliau tidak merelakan perbuatan tersebut dan berasa terganggu serta tertekan dengan apa yang berlaku.

Lebih membimbangkan, dalam rakaman audio yang sama turut kedengaran suara seorang lelaki yang beberapa kali menyebut kebimbangan bahawa nama PAS Seberang Takir telah tercemar, serta menyatakan hasrat untuk “membersihkan” imej parti di kawasan berkenaan. Kenyataan ini menimbulkan persoalan besar: adakah fokus sebenar adalah mencari kebenaran dan keadilan kepada mangsa, atau sekadar usaha mengurus kerosakan imej politik?

Isu ini juga mengimbau kembali satu kisah lama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, apabila seorang wanita tampil membuat pengakuan terbuka bahawa beliau diceraikan dengan talak tiga oleh seorang YB PAS tanpa pengetahuannya.

"ezza"

Wanita itu turut mendedahkan wujudnya hubungan sulit dengan YB berkenaan ketika beliau masih berstatus isteri orang. Lebih mengecewakan, menurut pendedahan tersebut, aduan yang dibawa kepada kepimpinan tertinggi PAS Terengganu didakwa tidak diendahkan, manakala laporan polis yang dibuat oleh suaminya pula tidak diketahui perkembangan lanjutnya.

Walaupun semua dakwaan ini perlu dinilai secara adil dan berlandaskan undang-undang, persoalan pokok tidak boleh disapu ke bawah karpet, jika benar wujud penyalahgunaan kuasa, eksploitasi kepercayaan rakyat dan pengkhianatan terhadap prinsip moral yang sering dilaungkan, maka ia merupakan kegagalan serius kepimpinan dan sistem kawalan dalaman. Lebih parah, jika budaya menutup kes demi menjaga nama parti terus berakar, ia bukan sahaja menzalimi mangsa, malah merosakkan integriti politik Islam itu sendiri.

PAS sering tampil dengan naratif kesucian moral, integriti dan pentadbiran berteraskan nilai agama. Justeru, standard yang sama malah lebih tinggi wajib dikenakan ke atas kepimpinan dan pegawainya. Penafian kosong atau seruan “jangan cemarkan nama parti” tidak memadai. Yang dituntut rakyat ialah ketelusan, siasatan bebas dan keberanian mengambil tindakan tanpa memilih bulu.

Isu ini tidak seharusnya dilihat sebagai serangan politik semata-mata tetapi sebagai ujian kejujuran dan kematangan sebuah parti yang mendakwa dirinya membawa panji Islam. Kebenaran tidak pernah takut kepada siasatan. Jika tidak bersalah, buktikan melalui proses yang telus. Jika bersalah, keadilan mesti ditegakkan, bukan demi musuh politik tetapi demi maruah mangsa dan kepercayaan rakyat.

MalaysiaHot tidak membuat pertuduhan tetapi menggesa agar isu yang tersebar ini dapat dijernihkan. Tularnya audio ini bukan bukti benar atau salah namun memerlukan penjelasan tuntas dari pihak yang sedang menyebarkan audio dan yang berada di dalam audio tersebut kerana masa depan individu yang dikatakan pegawai kepada YB berkenaan sedang dipertaruhkan. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang laporan polis dibuat.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.