Hajiji Pertaruh MA63 Dengan Skandal ‘Albert Tei’?


Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kes video skandal rasuah membabitkan beberapa ADUN Sabah “belum dipadam atau ditutup” telah membuka semula satu skandal ahli politik GRS yang cuba ditutup oleh pusat kuasa di negeri itu.

Ia bukan sekadar peringatan bahawa fail siasatan masih hidup tetapi pengesahan bahawa individu-individu yang terpalit sedang berada dalam radar SPRM dan Peguam Negara.


Anwar menegaskan di Parlimen bahawa kes itu “mesti disiasat”, sekali gus mematikan naratif bahawa isu tersebut sudah lenyap, selesai atau dibuang dengan harapan rakyat Sabah boleh terima

Hakikatnya Perdana Menteri sendiri yang memantau sejauh mana SPRM telah lakukan siasatan terhadap ADUN GRS yang terlibat.

Lebih perit lagi skandal ini bukan skandal biasa. Ia berkait dengan pendedahan ahli perniagaan Albert Tei yang sebelum ini mendedahkan amalan kickback dan bayaran sogokan melibatkan projek serta kelulusan perlombongan mineral di Sabah.

Pendedahan Albert Tei inilah yang merakam bagaimana sistem ‘tol - rasuah’ berjalan, bagaimana lesen ‘tidak bergerak’ jika tiada bayaran dan bagaimana orang yang berkuasa tertentu menggunakan kuasa sebagai ‘lombong emas’ untuk meluluskan projek.

Penganalisis politik mengesyaki sesuatu yang lebih besar sedang bergerak di belakang tabir dengan siasatan diaktifkan terhadap skandal mineral yang didedahkan oleh Albert Tei, timbul persoalan sama ada isu ini akan dijadikan senjata politik, alat ugutan atau “bahan taruhan” untuk menekan watak-watak tertentu termasuk mereka yang rapat dengan kepimpinan negeri.

Apabila beberapa ADUN yang masih terkait dengan skandal itu kembali dicalonkan, Sabah mungkin menyaksikan satu pilihan raya di mana calon-calon terbabit masuk gelanggang dengan beban fail jenayah yang boleh dibuka pada bila-bila masa.

Seorang pemerhati politik tempatan mengulas tajam, “Ini bukan lagi soal ‘jika’ tetapi ‘bila’. Sesiapa yang terlibat bukan duduk atas kerusi yang stabil tetapi mereka sedang duduk atas bahan letupan yang sudah dinyalakan sumbunya.”

Malah kebimbangan terbesar yang akan timbul apabila seseorang pemimpin terpalit kes rasuah dan berisiko dituduh pada bila-bila masa, mereka menjadi sasaran paling mudah untuk dikawal, dipaksa tunduk dan dipaksa berdiam diri dan Sabah tidak boleh dipimpin oleh mereka yang mudah dijinakkan melalui fail SPRM.

Penganalisis politik dari sebuah universiti mengatakan bahawa perkara yang menjadi kebimbangan dan ditakuti adalah rundingan paling kritikal menanti tentang tuntutan 40% hasil bersih Persekutuan di Sabah di bawah MA63.

“Jika pemimpin Sabah masuk meja rundingan dengan status ‘boleh didakwa bila-bila masa’, mereka bukan runding tetapi mereka merayu selamatkan tengkok.” kata penganalisis politik lagi.

Inilah risiko sebenar berkenaan hak 40% dan jika tidak memegang kuasa yang tulin maka hak rakyat Sabah boleh digadaikan sebagai “pertukaran halus” untuk kelangsungan politik peribadi.

Persoalannya juga adakah kepimpinan Sabah, khususnya Datuk Seri Hajiji Noor sedang mempertaruhkan masa depan MA63 dengan membiarkan watak-watak terpalit skandal mineral dan video rasuah terus berada dalam lingkaran atau koridor kuasa?

Pilihan raya ini bukan lagi pertandingan biasa. Ia referendum tentang maruah negeri, “Adakah Sabah mahu dipimpin oleh individu yang bebas menuntut hak rakyatnya? Atau “Oleh mereka yang mungkin perlu ‘membayar’ harga kebebasan sendiri dengan menyerahkan hak Sabah kepada Persekutuan?"

Sekarang, keputusan berada di tangan rakyat Sabah. Jika salah memilih, bukan saja pemimpin tersungkur tetapi hak Sabah di bawah MA63 mungkin turut dikorbankan.

Paling memalukan, rakyat pun sudah pandai mengejek kerajaan yang gunakan wang untuk berkuasa, lihat video kat bawah ini yang sedang tersebar.



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.