Perhimpunan Agung UMNO 2025 bukan sekadar rutin tahunan. Ia datang dengan nada berbeza, mesej berlapik tetapi tajam dan isyarat politik yang tidak boleh dipandang remeh oleh akar umbi mahupun pemerhati luar.
Ucapan awal Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, sebenarnya membuka pintu kepada satu fasa baharu perjalanan politik UMNO, fasa yang lebih realistik, lebih keras, dan lebih berstrategi.
Apabila Azalina menyebut bahawa UMNO berada dalam “satu fasa politik yang tidak mudah”, mesejnya jelas iaitu cabaran hari ini bukan berpunca daripada kelemahan dalaman semata-mata, tetapi kerana medan politik negara telah berubah secara radikal. Politik era digital, fragmentasi sokongan, emosi pengundi dan realiti kuasa kini tidak lagi boleh ditangani dengan pendekatan lama. Baca di SINI
Lebih penting, Azalina secara terbuka mengakui hakikat yang selama ini cuba disembunyikan oleh sesetengah pihak bahawa UMNO tidak berada dalam kedudukan yang sama di setiap negeri. Ada negeri memerintah, ada negeri berkongsi kuasa dan ada negeri menjadi pembangkang. Justeru, menuntut satu naratif seragam untuk semua keadaan bukan sahaja tidak adil, malah boleh menjadi liabiliti politik.
Ini kenyataan berani. Ia menolak pendekatan populis yang gemar bermain sentimen umum tanpa memahami konteks negeri. UMNO sedang menghantar mesej jelas kepada akar umbi iaitu politik hari ini menuntut kebijaksanaan membaca apa yang berlaku di lapangan bukan sekadar menjerit slogan.
Azalina menegaskan bahawa Penerangan UMNO tidak boleh terus bergantung kepada populariti individu. Sejarah kebelakangan ini membuktikan bahawa tokoh popular tidak semestinya membawa undi kepada parti. Tanpa struktur, disiplin, latihan dan keselarasan mesej, populariti hanyalah kosmetik, cantik di luar, rapuh di dalam.
Ini sindiran halus tetapi tepat kepada budaya politik lama yang terlalu bergantung kepada ‘hero’ dan ‘tokoh viral’ tetapi gagal membina kekuatan parti secara menyeluruh. UMNO sedang diberi amaran dari dalam: bangkit sebagai institusi, bukan bergantung kepada individu.
Menariknya, frasa dan nada ini diulang semula oleh Azalina dalam majlis Amanat Presiden dan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memulakan amanatnya, fokusnya jelas, bagaimana UMNO akan bangkit dalam keadaan ia bukan lagi kuasa dominan negara.
Ini bukan amanat defensif. Ini bukan ucapan merayu simpati. Ini adalah isyarat bahawa kepimpinan UMNO sedar mereka sedang diuji dalam zaman paling sukar dan kebangkitan tidak boleh lagi bersifat nostalgik atau emosi.
Ucapan dasar Presiden yang bakal disampaikan esok bukan sekadar teks politik ia dijangka menjadi penentu arah, strategi dan keberanian UMNO untuk berdepan realiti baharu politik Malaysia.
Satu perkara semakin jelas PAU2025 bukan sekadar perhimpunan. Ia adalah isyarat awal bahawa sesuatu yang besar sedang dirancang, dan UMNO sedang bersedia untuk bergerak sama ada akar umbi benar-benar bersedia atau tidak.


Comments
Post a Comment