Simposium Penerangan UMNO Malaysia bertemakan “Politik Era Digital” yang berlangsung hari ini bukan sekadar medan perbincangan strategi komunikasi sebaliknya menjadi cermin jujur yang memaparkan realiti sebenar kedudukan UMNO. Realiti ini tidak boleh dinafikan kerana UMNO berada dalam keadaan yang berbeza-beza di setiap negeri. Ada yang mengetuai kerajaan, ada yang mentadbir bersama rakan gabungan dan ada juga yang berperanan sebagai pembangkang. Justeru itu adalah tidak adil dan tidak realistik untuk mengharapkan satu naratif politik yang sama boleh diguna pakai di semua negeri tanpa mengambil kira konteks dan keperluan setempat.
Hakikat politik semasa menuntut UMNO bersikap matang dan berani mengakui bahawa pendekatan yang sesuai di negeri pembangkang boleh menjadi liabiliti di negeri yang memerintah manakala strategi yang berkesan di negeri yang menang mungkin langsung tidak menyentuh sentimen rakyat di negeri yang masih bergelut. Inilah cabaran sebenar politik era digital bukan sekadar kecekapan bermain algoritma media sosial tetapi keupayaan membaca realiti politik dengan tepat dan bertindak secara strategik tanpa terperangkap dalam naratif simplistik.
Sejak awal penubuhannya, UMNO berdiri atas tiga tiang utama iaitu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat. Dari sudut bersatu, UMNO telah membuktikan keupayaannya apabila terus berhimpun di bawah satu bumbung sebagai sebuah keluarga besar walau apa jua keadaan politik yang melanda. Namun sejarah beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya sejak 2018, mengajar UMNO bahawa bersatu semata-mata tidak mencukupi jika kesetiaan di dalam parti mula goyah dan dipertikaikan.
Bersetia sering disalah tafsir sebagai ketaatan membuta tulis sedangkan hakikatnya kesetiaan tidak menafikan perbezaan pandangan atau hak untuk menegur. Sebaliknya bersetia bermaksud setia kepada perjuangan UMNO, setia kepada institusi parti dan setia kepada kepimpinan yang dipilih melalui proses parti yang sah. Kejatuhan dan kebangkitan UMNO sejak 2018 membuktikan bahawa parti ini bukan tumbang kerana kekurangan musuh di luar tetapi menjadi lemah apabila kesetiaan di dalam diuji dan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti.
Daripada ujian yang pahit itulah UMNO belajar menjadi lebih matang lebih berdisiplin dan lebih memahami bahawa perbezaan pandangan tidak boleh dibiarkan melangkaui sempadan kepentingan parti. Hari ini, apabila UMNO kembali berada dalam kerajaan, ujian kesetiaan muncul dalam bentuk yang lebih halus tetapi lebih berbahaya. Ia bukan lagi sekadar ujian ketika susah tetapi ujian ketika ada ruang, ada jawatan dan ada peluang yang menggoda.
Dalam keadaan ini, kesetiaan menjadi lebih penting daripada populariti dan lebih bernilai daripada bilangan like, share dan komen di media sosial. Kelangsungan UMNO tidak ditentukan oleh siapa yang paling lantang di ruang maya tetapi oleh mereka yang tetap setia kepada parti sama ada ketika diuji dengan kekalahan atau ketika diberi peluang oleh kuasa. Inilah asas kekuatan sebenar UMNO yang tidak boleh dikompromi.
Bersetia juga bukan sekadar slogan yang diulang dalam ucapan tetapi nilai yang diuji oleh masa, tekanan dan pengorbanan. Untuk memahami makna sebenar kesetiaan kepada parti dan perjuangan, UMNO perlu melihat kepada kepimpinan yang memilih untuk terus berdiri bersama parti walaupun ketika berada dalam situasi paling mencabar. Kesetiaan inilah yang membentuk ketahanan parti, memandu arah perjuangan dan menjadi kompas utama UMNO dalam mengharungi landskap politik yang semakin kompleks dan mencabar.

Comments
Post a Comment