Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM6.9 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2026. Pada masa sama, Kerajaan Negeri Sabah memiliki rizab tunai mencecah RM8.6 bilion, satu angka yang menunjukkan negeri ini sebenarnya mempunyai kemampuan kewangan tersendiri.
Namun persoalan besar tetap timbul: jika rizab sudah tinggi, ke mana hasil itu disalurkan dan apa manfaatnya kepada rakyat Sabah?
Apa Itu Rizab Tunai dan Untuk Apa Ia Digunakan
Rizab tunai kerajaan negeri ialah simpanan kewangan hasil lebihan belanjawan, cukai, royalti, serta pelaburan negeri. Ia berfungsi sebagai penampan kewangan bagi menampung keperluan mendesak seperti bencana, kelembapan ekonomi, atau pelaburan jangka panjang.
Namun, dalam konteks Sabah, rizab yang besar tetapi rakyat masih berdepan kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia (25%) menimbulkan tanda tanya besar. Rizab yang disimpan tanpa strategi pengagihan yang memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi rakyat khususnya luar bandar, infrastruktur asas, dan peluang pekerjaan namun akhirnya tidak membawa makna sebenar kemakmuran.
Bajet 2026 - RM6.9 Bilion Dari Pusat: Tanda Keprihatinan, Bukan Ketergantungan
Peruntukan RM6.9 bilion dari Kerajaan Persekutuan bukan sekadar angka politik. Ia mencerminkan tanggungjawab nasional untuk memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Namun, persoalan asas perlu dijawab, mengapa negeri yang melaungkan slogan “Sabah for Sabahan” masih bergantung pada peruntukan pusat jika rizabnya sendiri sudah besar?
Jika slogan itu benar-benar dihayati, GRS seharusnya menunjukkan kemampuan berdikari melalui pengurusan kewangan negeri yang telus dan pro-rakyat dan bukan terus “meminta-minta” dari pusat sambil menyorokkan kelemahan tadbir urus fiskal di peringkat negeri.
Pelaburan RM17 Bilion: Retorik atau Realiti?
Tidak lama dahulu, kerajaan GRS gah mengumumkan pelaburan masuk berjumlah RM17 bilion, kononnya bakal membuka ribuan peluang pekerjaan dan memacu ekonomi Sabah ke tahap baharu.
Namun sehingga kini, tiada laporan jelas tentang apa sektor sebenar yang menerima pelaburan tersebut, tahap kemajuan projek, dan berapa banyak peluang pekerjaan sebenar telah diwujudkan.
Jika pelaburan itu hanya tinggal angka dalam sidang media, maka ia sekadar gimik ekonomi yang gagal diterjemah kepada hasil nyata kepada rakyat.
Legasi BN: Projek Nyata, Impak Ketara
Sebagai perbandingan, ketika era Barisan Nasional (BN), Sabah menikmati pelbagai pembangunan berimpak langsung seperti:
1. Projek Lebuhraya Pan Borneo, yang kini menjadi tunjang logistik negeri;
2. Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB);
3. Dana khas untuk FELCRA, RISDA dan MARA yang meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar;
4. Dana pembangunan pendidikan dan IPT Sabah yang melahirkan ramai tenaga kerja profesional tempatan.
Walaupun BN dikritik dalam beberapa aspek, rekod pembangunan yang dapat dirasai rakyat tetap lebih nyata berbanding janji pelaburan yang kabur hari ini.
GRS Gagal Urus 'Duit Rakyat'
Rakyat Sabah kini semakin celik menilai, mereka tidak lagi mahu statistik rizab dan pelaburan di atas kertas, tetapi mahu:
Jalan kampung yang boleh dilalui,
Akses air bersih dan elektrik yang stabil,
Peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah, dan
Tadbir urus negeri yang telus serta bebas rasuah.
Kerajaan GRS gagal membuktikan bahawa rizab RM8.6 bilion bukan sekadar “akaun simpanan politik”, tetapi sumber kekuatan untuk membangunkan Sabah secara menyeluruh dan bukan sekadar untuk memancing simpati ketika pilihan raya.
Dengan rizab tunai besar, pelaburan yang dijanjikan, dan peruntukan pusat yang berterusan, Sabah sepatutnya sudah lama melonjak keluar dari kelompok negeri termiskin di Malaysia.
Namun selagi retorik politik mengatasi keutamaan rakyat, bajet besar hanya tinggal angka, bukan kesejahteraan.
Persoalannya: adakah GRS benar-benar telah membangunkan Sabah atau sekadar mahu mengekalkan kuasa untuk terus berpesta dengan rasuah jika terus berkuasa selepas PRN ke-17 kelak?

Comments
Post a Comment