Bajet 2026: Sabah Dapat Peruntukan Tertinggi, Bukti Negeri Ini Sudah ‘Dibeli’ Malaya?


Sabah sekali lagi menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2026 apabila diumumkan menerima peruntukan tertinggi di Malaysia, sebanyak RM6.9 bilion. Angka ini secara zahirnya kelihatan seperti satu kemenangan besar buat negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, di sebalik angka yang tampak indah ini, wujud persoalan besar adakah ini tanda keyakinan, atau sebenarnya simbol Sabah sudah dibeli oleh Malaya?

Menurut Hajiji, peruntukan besar ini mencerminkan “keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kestabilan politik Sabah dan keupayaan kepimpinan negeri.” Beliau menyifatkan ia hasil hubungan erat antara kerajaan negeri dan pusat, kononnya demi pembangunan seimbang di seluruh negeri.

Antara komponen utama yang diumumkan termasuk:

  • RM1.67 bilion untuk projek Pan Borneo Sabah (projek yang masih belum siap sepenuhnya selepas bertahun-tahun diumumkan),
  • RM765 juta bagi talian elektrik Southern Link,
  • RM220 juta untuk pembaikan infrastruktur pasca bencana, dan
  • RM39 juta untuk Fasa 2 projek tebatan banjir.

Selain itu, Sabah turut menerima kenaikan geran khas interim MA63 kepada RM600 juta bagi tahun 2026, satu jumlah yang masih jauh daripada hak sebenar negeri berdasarkan perjanjian asal tahun 1963.

Namun, di sebalik retorik “pembangunan seimbang” dan “keyakinan pusat”, persoalan paling besar ialah:
1. Apakah harga sebenar di sebalik peruntukan ini?
2. Apakah GRS kini telah menjadi sekadar pelaksana dasar Malaya di bumi Sabah?

Rakyat Sabah tentu belum lupa bagaimana slogan “Sabah for Sabahan” pernah menjadi laungan keramat parti tempatan. Namun kini, suara itu semakin tenggelam dalam tepukan sanjungan terhadap bajet yang kononnya “menguntungkan” Sabah. Jika diperhatikan, hampir setiap angka besar dalam bajet tersebut masih bersandar pada projek persekutuan dan bukannya hasil inisiatif atau kuasa autonomi negeri sendiri.

Lebih menyedihkan, projek-projek seperti Pan Borneo, tebatan banjir, dan Southern Link sudah berulang kali diumumkan sejak era pentadbiran terdahulu. Namun, pelaksanaannya tetap perlahan, penuh ketirisan dan sering menjadi modal politik menjelang pilihan raya.

Apabila kerajaan negeri terlalu bergantung kepada “peruntukan” dari pusat, ia bukan lagi tanda kekuatan, tetapi tanda tunduk dan bergantung hidup.

Inilah realiti pahit, di mana “keyakinan pusat” sebenarnya bermakna kawalan yang lebih ketat ke atas negeri. Dan di sinilah terserlah kontradiksi besar antara retorik “Sabah for Sabahan” dengan realiti “Sabah is Malaysia”.

Apa Rakyat Sabah Dapat, baca di SINI

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.