RUU Had Penggal Perdana Menteri: Artikel ‘Sinar’ Mengelirukan, Lemah


Artikel oleh Sinar Harian bertajuk “RUU had penggal PM gagal: Azalina patut dipersalahkan?” memperlihatkan satu kelemahan dan kegagalan memahami bagaimana sistem Parlimen Malaysia benar-benar berfungsi.

Isu yang bersifat institusi dan kolektif telah dikecilkan menjadi kesalahan individu, sekali gus mengelirukan pembaca dengan memberikan gambaran salah tentang makna sebenar reformasi yang cuba dibawa oleh Dato' Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Dalam sistem Parlimen, seorang menteri bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang, manakala keputusan muktamad terletak sepenuhnya pada Ahli-ahli Parlimen melalui proses undian. Disiplin undian pula bukan dikawal oleh seorang menteri tetapi oleh Ketua Whip parti masing-masing. Mengabaikan hakikat ini lalu menyalahkan Dato' Sri Azalina seolah-olah beliau mengawal semua undi lintas parti adalah satu tanggapan yang tidak berasaskan realiti Parlimen.

Dato' Sri Azalina bukan Ketua Whip untuk semua parti, malah tidak mempunyai kuasa menentukan kehadiran atau sikap Ahli Parlimen sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang. Justeru, naratif yang cuba meletakkan beban kegagalan RUU ini sepenuhnya di bahu seorang menteri bukan sahaja tidak adil, malah memperlihatkan kefahaman yang cetek terhadap struktur kuasa legislatif negara.

Lebih ketara, artikel tersebut gagal mengemukakan soalan-soalan paling kritikal yang sepatutnya menjadi teras kepada isu adalah:

Mengapa 44 Ahli Parlimen memilih untuk berkecuali?

Mengapa 32 Ahli Parlimen tidak hadir ketika undian penting ini berlangsung?

Apakah arahan sebenar yang dikeluarkan oleh Ketua Whip parti-parti terlibat?

Soalan-soalan inilah yang menentukan nasib sesuatu Rang Undang-Undang, namun ia langsung tidak disentuh oleh portal Sinar.

Sebaliknya, pendekatan paling mudah dipilih untuk sensasikan berita dengan menyalahkan seorang menteri. Analisis sebegini menutup persoalan sebenar tentang disiplin parti, komitmen wakil rakyat, dan keikhlasan politik terhadap reformasi institusi yang dibicarakan secara terbuka sebelum ini.

Sepatutnya yang perlu ditegaskan ialah Azalina telah melaksanakan tugasnya dengan membawa cadangan reformasi ke Parlimen. Rang Undang-Undang had penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun merupakan satu usaha penting untuk mengehadkan kuasa eksekutif dan memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam demokrasi berparlimen. Kegagalan meluluskannya tidak berlaku di peringkat pembentangan tetapi di peringkat keputusan undi.

Malah persoalan sebenar yang wajar dibincangkan ialah tahap kesediaan Ahli Parlimen sendiri untuk menyokong reformasi institusi. Sikap berkecuali dan ketidakhadiran dalam undian kritikal bukan isu remeh dan ia bukannya sebagai alasan mudah untuk menyalahkan seorang individu lain.

Apabila analisis media gagal membezakan antara tanggungjawab eksekutif dan kuasa legislatif, pembaca pula yang akhirnya dikelirukan.

RUU ini tidak gagal kerana seorang Menteri tetapi kerana keputusan kolektif Ahli Parlimen. Selagi soalan-soalan yang sepatutnya ini tidak berani ditanya, selagi itulah analisis sebegini akan terus gagal memahami realiti sebenar Parlimen walaupun tajuknya tampak berani dan provokatif.


Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.