Dana Raya, Kebajikan: Malang Rakyat Terengganu, Untungnya Rakyat Pahang


Adakah kebajikan rakyat Terengganu dijadikan bahan politik sejak PAS memerintah?

Jika dilihat perbandingan antara Terengganu dan Pahang dalam soal Dana Raya menceritakan kisah yang jauh berbeza, bukan dari segi kemampuan, tetapi keutamaan.

Terengganu pernah menjadi contoh terbaik apabila muncul sebagai satu-satunya negeri yang konsisten menyalurkan Dana Raya sejak tahun 2005. Bantuan ini menyasarkan asnaf, ibu tunggal, warga emas dan OKU, sekali gus menggerakkan ekonomi setempat setiap kali menjelang Aidilfitri. Peniaga kecil menikmati lonjakan jualan, suasana Syawal diraikan dengan lebih meriah dan hampir tiada rakyat yang berasa terpinggir.

Namun, apabila rekod perbelanjaan diperhalusi sejak 2005, sejumlah RM941 juta telah dibelanjakan untuk Dana Raya tetapi RM750 juta daripadanya diagihkan sebelum tahun 2018. Tahun 2018 sepatutnya mencatat kemuncak dengan peruntukan RM99 juta dalam belanjawan negeri, namun selepas pertukaran kerajaan, hanya RM69 juta yang benar-benar sampai kepada rakyat.

Selepas itu, Dana Raya di Terengganu mula menjadi tidak menentu. Pada tahun 2019, agihan merosot drastik kepada RM15.8 juta, sebelum lenyap sepenuhnya pada tahun 2020 dan 2021. Dalam tempoh yang sama, ribuan lantikan politik mula membanjiri perkhidmatan negeri, mencetuskan beban kewangan yang ketara kepada pentadbiran.

Namun, sesuatu yang luar biasa berlaku setiap kali negara menghampiri pilihan raya. Tahun 2022, yang merupakan tahun Pilihan Raya Umum, kerajaan negeri tiba-tiba memperuntukkan RM58.99 juta untuk Dana Raya. Corak yang sama berulang pada 2023 menjelang Pilihan Raya Negeri, apabila lebih RM43 juta sekali lagi diagihkan, walaupun ketika itu kerajaan negeri secara terbuka mendakwa tidak menerima royalti seperti dijanjikan.

Keputusan politiknya amat jelas. Terengganu mencatat sejarah apabila tiada pembangkang buat pertama kali sejak 1978. Namun sebaik sahaja pilihan raya berlalu, Dana Raya kembali menyepi. Tahun 2024, walaupun royalti yang diterima negeri adalah tertinggi dalam tempoh 10 tahun, Dana Raya langsung tidak muncul. Tahun 2025 tiada pilihan raya, maka tiada Dana Raya. Tahun 2026 pula dijangka sama nasibnya.

Di sinilah perbandingan dengan Pahang menjadi semakin signifikan.

Di bawah pentadbiran Menteri Besar Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail , Pahang mengekalkan agihan bantuan Aidilfitri negeri setiap tahun sejak 2018 tanpa mengira sama ada wujud pilihan raya atau tidak. Bantuan tersebut melibatkan peruntukan belasan hingga puluhan juta ringgit setiap tahun, meliputi penjawat awam, golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penerima kebajikan.

Apa yang membezakan Pahang bukanlah angka semata-mata tetapi konsistensi. Bantuan tidak dijadikan umpan politik, tidak muncul dan hilang mengikut musim undi. Ia diteruskan sebagai tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Maka persoalan yang bermain di fikiran rakyat Terengganu hari ini bukan lagi soal kemampuan kewangan negerimtetapi soal keutamaan sebenar pentadbiran. Jika Pahang mampu mengekalkan bantuan tanpa drama pilihan raya, mengapa Terengganu hanya “mampu” ketika hampir ke peti undi?

Jika royalti tertinggi pun tidak menjamin Dana Raya, apakah sebenarnya yang menjadi keutamaan?

Akhirnya, rakyat hanya mampu melontarkan sindiran yang jujur:

"Marilah sama-sama berdoa semoga tahun depan ada pilihan raya supaya rakyat dapat Dana Raya"

Dan malangnya, itu bukan lagi jenaka. Itu realiti yang sedang dirasai.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.