Bagi Dr Akmal, Rakyat Sekadar Tebusan Politik?


Kenyataan Dr Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap ADUN Merlimau bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri akan datang sekiranya Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) wajar ditafsir dengan lebih kritikal.

Bukan kerana hak peribadi untuk bertanding atau tidak tetapi kerana mesej politik yang disampaikan di sebalik ancaman tersebut. Bagi pemerhati politik Melaka, episod ini menandakan peralihan Dr Akmal ke fasa politik tekanan atau lebih tepat, politik mengugut dengan pengundi dijadikan sandaran emosi dan tebusan.

Apabila seorang pemimpin muda memilih untuk meletakkan syarat peribadi ke atas keputusan kolektif parti, mesej yang sampai kepada rakyat adalah jelas, ikut kehendak saya, atau saya berundur dan biarkan kesannya ditanggung bersama. Ini bukan perbezaan pendapat yang matang tetapi pendekatan yang memindahkan risiko politik kepada pengundi seolah-olah pengundi perlu “membayar harga” atas keputusan strategik peribadinya.

Lebih mengelirukan, Dr Akmal dilihat bergelut antara ilusi politik sendiri dan ketakutan berlebihan terhadap DAP, DAP-phobia yang dijadikan justifikasi untuk menolak PH, sambil mengisyaratkan kecenderungan kepada PAS. Jika benar soal prinsip, maka hujahnya perlu bersandar pada dasar, rekod tadbir urus dan kepentingan negeri. Namun apabila alasan berputar pada momokan lama tanpa kerangka dasar yang konsisten, ia lebih menyerupai retorik selesa daripada analisis bertanggungjawab.

Politik kebudakan Adalah politik yang digerakkan oleh emosi, ugutan dan simbolisme sempit yang akhirnya tidak pernah melahirkan pemimpin besar. Ilmu politik yang luas menuntut kebolehan berunding, menimbang realiti kuasa dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Sejarah politik PAS yang dikagumi oleh Dr Akmal akhir-akhir ini sendiri memberi pelajaran jelas, selama hampir sembilan tahun, Presiden PAS berjaya menyatukan barisan kepimpinan parti untuk menerima DAP sebagai rakan strategik. Sepanjang tempoh itu, tiada bantahan daripada sayap, apatah lagi Majlis Dewan Ulama PAS. Kesetiaan dan disiplin politik dikekalkan sehingga perpisahan berlaku atas keputusan parti, bukan ugutan individu. Ia bukti bahawa kematangan organisasi mengatasi emosi peribadi. Apakah Dr Akmal lupa Sejarah PAS ‘cium mulut’ dengan DAP?


Sebaliknya, keletah Dr Akmal kebelakangan ini kian memuncak dan malangnya, semakin menjerumuskan UMNO ke dalam persepsi negatif. Setiap kenyataan bersyarat, isyarat penarikan diri, menambah lapisan ketidakpastian bukan sahaja kepada rakan gabungan tetapi kepada pengundi yang mahukan kestabilan. Politik bukan pentas lakonan namun Dr Akmal dilihat semakin mahir “berlakon baik”, khususnya di DUN Merlimau, seolah-olah keprihatinan setempat itu boleh dijadikan modal untuk menentang keputusan parti secara keseluruhan.

Persoalannya, adakah sokongan rakyat digunakan sebagai tuas untuk menekan UMNO sendiri? Jika ya, ini bukan keberanian tetapi pengkhianatan terancang terhadap disiplin parti. Lebih berat lagi, ia meletakkan Ketua Menteri Melaka dalam posisi sukar kerana terpaksa mengurus pemimpin yang gemar mengugut dan merajuk. Jika sepuluh pemimpin berkepala sama dibenarkan berlegar, UMNO tidak perlu musuh untuk kalah di Melaka tetapi ia sedang menghakis dirinya dari dalam.

Politik matang menuntut keberanian untuk berhujah tanpa mengugut, berprinsip tanpa memeras, dan setia kepada parti tanpa memperdagangkan rakyat. Jika Dr Akmal benar-benar mahu dilihat sebagai pemimpin masa depan, hentikan politik tebusan. Rakyat bukan alat tawar-menawar. Mereka adalah amanah.

Lekeh sangat cara nak terus jadi wakil rakyat jika guna cara 'ugut'. Kata pemerhati lagi.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.