Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas berhubung isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran apabila dimaklumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bahawa sehingga 31 Januari 2026 sebanyak 687 buah kuil Hindu dibina tanpa kelulusan sah di seluruh negeri itu.
Daripada jumlah tersebut, 388 buah kuil didirikan di atas tanah milik kerajaan manakala 299 buah lagi dibina di tanah persendirian, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek pematuhan undang-undang, keselamatan dan keharmonian sosial.
Dalam titah baginda, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa angka tersebut adalah terlalu tinggi jika dibandingkan dengan komposisi penduduk masyarakat India beragama Hindu di Selangor yang dianggarkan sekitar 11.3 peratus. Malah, jumlah itu tidak termasuk kuil-kuil yang dibina secara sah dan telah mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri sebelum ini.
Pendirian Sultan Selangor ini selari sepenuhnya dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Februari 2026 yang menegaskan bahawa mana-mana rumah ibadat yang dibina tanpa mematuhi undang-undang dan peraturan tidak seharusnya dibenarkan. Sokongan itu diperkukuhkan lagi apabila Perdana Menteri menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari 2026 bagi memperincikan pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung isu berkenaan.
Menurut Sultan Sharafuddin, ketegasan Kerajaan Persekutuan itu menepati prinsip tadbir urus yang baik dan pendekatan yang sentiasa ditekankan oleh baginda iaitu memastikan setiap pembangunan termasuk pembinaan rumah ibadat perlu dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta perancangan bandar yang mampan dan teratur.
Sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor, baginda menegaskan bahawa sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama sentiasa menjadi keutamaan. Namun, prinsip toleransi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan peruntukan undang-undang atau membenarkan pencerobohan tanah, sama ada milik kerajaan atau persendirian.
Baginda mengingatkan bahawa pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah berpotensi mencetuskan pertelingkahan antara penganut agama sekali gus membawa risiko terhadap keselamatan dan ketenteraman awam di peringkat negeri dan negara.
Sehubungan itu, Sultan Selangor menitahkan agar Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih tegas dan berintegriti. Setiap permohonan pembinaan rumah ibadat perlu dinilai secara telus, adil dan tersusun, tanpa mengetepikan mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Baginda turut menekankan keperluan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa bagi membanteras dan mengawal pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran demi memastikan keharmonian masyarakat serta kedaulatan undang-undang terus terpelihara di Negeri Selangor.
Titah ini sekali gus menjadi isyarat jelas bahawa undang-undang tidak boleh ditawar-menawar, dan keharmonian hanya dapat dipertahankan apabila setiap pihak menghormati peraturan yang telah ditetapkan.

Comments
Post a Comment