Tan Sri Pengerusi Tetap, Yang Amat Berhormat Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, barisan kepimpinan Ahli Majlis Kerja Tertinggi serta sekalian perwakilan yang dihormati. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam UMNO Sebuah Perjuangan. Saya, Mohd. Noor bin Ahmad, berdiri di podium keramat ini sebagai wakil Pulau Pinang, dengan amanah untuk mengambil bahagian dalam perbahasan usul ucapan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO ini.
Antara perkara yang paling menarik perhatian kami di Pulau Pinang ialah gagasan Rumah Besar Bangsa yang dicetuskan oleh Datuk Seri Presiden UMNO. Pada hemat saya, idea ini bukan lahir secara tiba-tiba, tetapi merupakan kesinambungan kepada rekod, pengalaman dan pengajaran pahit manis UMNO dalam menghadapi cabaran serta rintangan, khususnya ketika usaha merealisasikan Muafakat Ummah sebelum ini. Rumah Besar Bangsa ini melambangkan bahawa kepimpinan UMNO hari ini tidak pernah berputus asa untuk membina semula kekuatan parti demi masa depan bangsa dan negara.
Pasca PRU14 menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional tewas dan kehilangan kuasa dominan sebagai Kerajaan. Ketika itulah orang Melayu mula membuka mata. Mereka melihat bukan sahaja parti keramat ini ditekan dari segenap penjuru politik, malah kedudukan orang Melayu sendiri seolah-olah merempat di tanah air sendiri. Justeru, saya yakin dengan kesedaran ini dan dengan gagasan Rumah Besar Bangsa, UMNO mampu menggamit sokongan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk kembali dominan dalam Kerajaan Persekutuan.
Tan Sri Pengerusi Tetap, izinkan saya menyorot cabaran yang kami hadapi di Pulau Pinang sejak UMNO BN hilang kuasa sebagai Kerajaan Negeri selepas PRU12 pada 8 Mac 2008. Pembangunan yang tidak terkawal sehingga ke hari ini semakin menghimpit kampung-kampung Melayu. Seawal tahun 2008 lagi, kami di peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri telah berbincang dan menyedari bahawa pembangunan tanpa kawalan ini akhirnya akan menghakis status beberapa kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Melayu.
Sebagai contoh, Bayan Baru pada tahun 1990 dianggap sebagai Parlimen Melayu dan wakil rakyatnya adalah orang Melayu. Pada tahun 2008, keadaan itu masih kekal. Namun hari ini, pembangunan tidak terkawal telah menghakis status Bayan Baru sebagai Parlimen Melayu. Kebimbangan yang sama kini menghantui kawasan seperti Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Permatang Pauh dan Nibong Tebal jika keadaan ini dibiarkan berterusan.
Sehubungan itu, saya merayu agar Datuk Seri Presiden UMNO memberi perhatian serius sekiranya terdapat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dalam penggal PRU15 ini. Jika diwujudkan kawasan Parlimen baharu, jangan hanya kawasan bukan Melayu sahaja dipecahkan sehingga menambah representasi pihak tertentu. Pastikan kawasan Parlimen Melayu turut diperluaskan agar benar-benar mencerminkan populasi sebenar orang Melayu di Parlimen. Jika perkara ini tidak dapat dijamin, maka di bawah semangat Rumah Besar Bangsa, UMNO sebagai sebahagian Kerajaan Perpaduan wajar menolak sebarang cadangan persempadanan semula tersebut.
Hakikatnya, keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan telah terbukti menjaga kepentingan Melayu dan Islam. Cadangan URA ditangguhkan, usaha mewujudkan pilihan raya PBT tidak menjadi kenyataan, dan pengiktirafan UEC masih belum diluluskan. Ini semua adalah hasil kebijakan Menteri-Menteri UMNO dalam Jemaah Kabinet, dan rakyat khususnya orang Melayu semakin membuka mata akan peranan penting UMNO.
Tan Sri Pengerusi Tetap, ada pihak yang memperlekehkan UMNO kononnya hanya “melukut di tepi gantang” dalam Kerajaan Perpaduan kerana memiliki 26 Ahli Parlimen. Namun mereka lupa, kekuatan UMNO bukan semata-mata pada angka. Di Pulau Pinang sendiri, walaupun kecil dari segi bilangan, apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Husin Mydin dilantik sebagai Pengerusi PERDA, usaha membangunkan tanah wakaf bersama MAINPP sedang giat dilaksanakan. Usaha ini bukan sahaja membawa orang Melayu kembali ke bandar, malah mempertahankan status kawasan Parlimen Melayu daripada terhakis dek pembangunan tidak terkawal.
Saya ingin beralih kepada satu lagi tanggungjawab besar UMNO sebagai parti fardhu kifayah, iaitu membela nasib guru-guru sekolah. Kes pendakwaan terhadap guru kerana tindakan disiplin telah menimbulkan fobia dalam kalangan pendidik untuk melaksanakan tugas hakiki mereka. Surat tuntutan guaman, ugutan saman dan tekanan emosi menyebabkan guru memilih untuk tidak lagi mendisiplinkan murid. Justeru, UMNO wajar mempelopori usaha mengembalikan kuasa “rotan didik” dengan perlindungan perundangan yang jelas supaya guru dapat menjalankan amanah mereka tanpa rasa takut.
Tan Sri Pengerusi Tetap, pasca PRU15 menyaksikan tiada gabungan mempunyai majoriti mudah. DAP pernah menyatakan sanggup berkorban apa sahaja demi membentuk Kerajaan. Namun hari ini, pelbagai tuntutan dibuat sehingga mengusik emosi orang Melayu. Di Pulau Pinang, cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Jalan Tokong Naga berjaya ditangguhkan hasil bantahan penduduk dan Pemuda UMNO. Ini membuktikan bahawa keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan terus menjadi benteng mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.
Sehubungan itu, saya merayu kepada Datuk Seri Presiden UMNO selaku Timbalan Perdana Menteri agar terus menggunakan segala kuasa dan kebijaksanaan untuk mempertahankan kepentingan Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan institusi Raja-Raja Melayu sehingga tamat penggal PRU15. Selepas itu, terpulang kepada kebijaksanaan kepimpinan UMNO menentukan hala tuju parti.
Akhir kata, Tan Sri Pengerusi Tetap, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berdiri teguh memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Presiden UMNO, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Satu darah, satu haluan. Melayu hidup, rakyat bahagia.
YBhg. Datuk Mohd Noor bin Ahmad
Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan

Comments
Post a Comment