Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam UMNO Sebuah Perjuangan. Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ayahanda Tan Sri Pengerusi Tetap yang sentiasa setia, bertenaga, bersemangat dan tidak pernah jemu menyayangi anak-anak UMNO. Turut saya alu-alukan Yang Amat Berhormat Presiden, Yang Berhormat Timbalan Presiden, barisan Naib Presiden, saf Majlis Kerja Tertinggi, pimpinan Tiga Sayap UMNO, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, serta para perwakilan yang dihormati sekalian. Sesungguhnya saya berdiri di sini dengan penuh rasa rendah diri, membawa suara yang tersurat di hati akar umbi dan tersirat buat parti keramat yang kekal terpahat di jiwa, UMNO tetap di hati.
Saya ingin mengajak seluruh perwakilan merenung sejenak realiti politik yang sedang kita hadapi. Mengapa tiba-tiba ramai mengaku sahabat, mengaku saudara dan mahu mendekati kita? Hakikatnya, tiada siapa mendekati mereka yang dianggap tidak punya nilai. Ketika kita kuat, ramai yang datang mendekat. Ketika kita lemah, kita ditinggalkan. Inilah hakikat yang pernah dilalui oleh UMNO. Namun sejak penubuhannya, UMNO sentiasa menjadi tulang belakang penyatuan bangsa dan agama, bermula dengan perjuangan menuntut kemerdekaan, menyatukan orang Melayu menentang penjajah, seterusnya membina Perikatan dan Barisan Nasional atas nama kestabilan dan perpaduan negara.
Namun sejarah juga mencatatkan, apabila UMNO hilang kuasa pasca PRU14, satu demi satu parti komponen meninggalkan kita. Yang kekal setia hanyalah MCA, MIC dan PBRS. Kita cuba bangkit semula atas nama bangsa dan agama melalui Muafakat Nasional, disaksikan dengan lafaz setia dan air mata di dewan ini, namun akhirnya kita juga diuji dengan pengkhianatan. Maka jawapannya jelas, orang akan mendekati kita saat kita kuat dan meninggalkan kita saat kita lemah. Justeru UMNO mesti kembali kuat dan hebat namun dalam kekuatan itu kita harus sentiasa berwaspada kerana ada yang datang bukan dengan niat ikhlas tetapi dengan jerat dan helah.
Amanat Presiden yang menyebut agar pintu dibuka jangan terlalu luas dan ditutup jangan terlalu rapat membawa makna yang sangat mendalam. Jika pintu dibuka terlalu luas, ada yang akan mengambil kesempatan. Jika ditutup terlalu rapat, kita pula terasing. Di sinilah kebijaksanaan kepimpinan Presiden diuji, kerana UMNO boleh menerima, dan UMNO juga berhak untuk menolak. Namun ada satu garis merah yang tidak boleh dilanggar iaitu maruah dan hormat kepada parti ini.
Membawa suara UMNO Negeri Kelantan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub dan seluruh kepimpinan negeri atas kepercayaan melantik saya sebagai jurucakap. Lebih tiga dekad UMNO Kelantan sering dilabel sebagai lemah dan gagal namun hakikatnya UMNO hanya berpeluang mentadbir negeri selama 12 tahun antara 1978 hingga 1990. Walaupun berdepan kekalahan paling lama, UMNO Kelantan tetap bertahan. Malah dalam kalangan negeri SG4, UMNO Kelantan satu-satunya yang berjaya menyumbang dua kerusi Parlimen kepada parti. Kebangkitan di Nenggiri membuktikan bahawa dengan disiplin jentera dan semangat juang yang tinggi, UMNO tetap mampu menang walaupun bukan kerajaan negeri.
Kita juga sedar landskap politik hari ini telah berubah, dengan lebih 60 peratus keputusan pilihan raya ditentukan oleh pengundi muda. Justeru hubungan UMNO dengan Kerajaan Perpaduan menjadi jambatan penting untuk mendekati golongan ini. UMNO Kelantan merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melalui MARA serta YBhg. Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki atas inisiatif pendidikan anak muda melalui Yayasan Pelajaran MARA dan penglibatan Pemuda serta Puteri UMNO. Kejayaan di kerusi Liawan dan pelaksanaan program seperti Kembara Kesedaran Anak Desa Madani Kedesa membuktikan UMNO masih relevan dan diperlukan.
Namun realiti rakyat Kelantan berbeza dengan negeri lain. Isu ekonomi, sosial dan kemudahan asas seperti bekalan air bersih masih menghantui kehidupan rakyat. Anak muda berhijrah meninggalkan kampung halaman demi mencari rezeki. Justeru kami merayu agar sentuhan Kerajaan Persekutuan melalui agensi seperti KESDAR dan penubuhan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara dapat dipercepatkan, di samping penambahan kuota PPRT, PPRS dan bantuan baik pulih rumah melalui MARA kerana slogan semata-mata tidak cukup tanpa pembelaan sebenar kepada rakyat.
Dalam menyusun kekuatan menuju PRU16, UMNO tidak boleh menafikan jasa seorang tokoh yang amat dirindui, Datuk Seri Najib Razak. Dengan penuh takzim kepada institusi Raja-Raja Melayu, patik memohon agar jasa beliau terhadap negara diletakkan dalam neraca pertimbangan. UMNO akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu walau apa jua keadaan. Daulat Tuanku.
Akhirnya, ingin saya tegaskan bahawa UMNO tidak rosak kerana Zahid Hamidi. Hakikatnya, nama Zahid Hamidi diserang kerana beliau teguh mempertahankan UMNO. Di bawah kepimpinan beliau, gagasan Rumah Bangsa dan usaha menyelamatkan maruah parti sedang digerakkan. Inilah realiti sebuah rumah perjuangan yang dibina dengan keringat, air mata dan pengorbanan generasi terdahulu. UMNO bukan terbang tanpa sayap, UMNO masih punya arah, prinsip dan maruah. Justeru, dari Kelantan kami berdiri teguh, memohon, mencadang dan menyokong agar UMNO terus diperkasakan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Comments
Post a Comment