UMNO bukan parti bermusim dan bukan wujud hanya apabila diperlukan lalu diketepikan apabila agenda tertentu telah tercapai. Sejak sebelum merdeka, dari era Persekutuan Tanah Melayu hingga ke Malaysia hari ini, UMNO membina kerjasama politik atas asas perjanjian, kepercayaan dan keikhlasan bukan sandiwara, muslihat atau tipu daya. Setiap permuafakatan yang dijalin dihormati, setiap keputusan kolektif dipatuhi dan setiap kerjasama dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kestabilan negara.
UMNO sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa kesetiaan mesti dibalas dengan penghormatan dan permuafakatan mesti disertai kejujuran. Namun, kesabaran UMNO ada batasnya. Jangan sesekali menganggap kesabaran itu sebagai kelemahan atau keterpaksaan. Kerjasama politik tidak boleh dijadikan alasan untuk meminggirkan peranan UMNO atau memperkecilkan sumbangan yang telah sekian lama menjadi tunjang kepada pembinaan negara.
UMNO tidak pernah menagih layanan istimewa, tetapi UMNO juga bukan parti tempelan atau pelengkap kepada mana-mana gabungan. UMNO bukan “kari pullay” atau daun kari yang dicampakkan ke dalam kuali apabila perlu dan dikuis ke tepi apabila hidangan telah siap. Anggapan sebegini bukan sahaja tidak adil, malah mencerminkan kegagalan memahami sejarah dan realiti politik negara.
Hakikatnya, UMNO adalah tiang seri kestabilan negara. Tanpa UMNO, kemerdekaan tidak dibina secara tersusun, kestabilan politik tidak dapat dipelihara dan asas pentadbiran negara tidak akan sekukuh hari ini. UMNO terus berdiri dengan prinsip, setia kepada amanah dan tidak pernah lari daripada tanggungjawab kerana UMNO bukan sekadar sebuah parti politik tetapi nadi, teras dan tonggak kepada kelangsungan Malaysia.

Comments
Post a Comment