Selangor: Jumlah Babi Lebih Banyak Daripada Penjumlahan Lembu, Kambing, Biri-biri


Keputusan kerajaan negeri Selangor membenarkan penternakan babi skala besar di Kuala Langat terus mencetuskan kontroversi apabila Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan kemurkaan dan ketidaksetujuan Baginda secara terbuka. Teguran tersebut bukan isu kecil sebaliknya membawa mesej besar tentang sensitiviti agama, kesejahteraan rakyat serta hala tuju pentadbiran negeri yang dilihat semakin terpisah daripada realiti masyarakat setempat.

Kuala Langat merupakan daerah yang majoriti penduduknya beragama Islam. Justeru, keputusan membenarkan penternakan babi berskala besar di kawasan ini menimbulkan persoalan serius tentang keutamaan kerajaan negeri dalam menjaga sensitiviti umat Islam. Baginda Sultan sendiri menyuarakan kebimbangan bahawa pandangan dan kepentingan majoriti penduduk seolah-olah diketepikan demi meluluskan satu projek yang jelas akan menimbulkan kontroversi.

Lebih membimbangkan, Baginda turut menyatakan kerisauan bahawa projek penternakan babi ini berkemungkinan besar berorientasikan eksport ke luar negara. Jika benar, ia membawa makna bahawa projek ini bukan sekadar untuk memenuhi keperluan domestik masyarakat bukan Islam, sebaliknya bermatlamatkan keuntungan besar kepada pengusaha-pengusaha ladang tertentu. Dalam konteks ini, kegusaran Baginda Sultan adalah berasas dan wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Sebagai satu sindiran yang tajam tetapi penuh makna, Baginda Sultan mencadangkan agar wakil-wakil rakyat yang meluluskan projek ini tinggal dan menetap berhampiran kawasan ternakan babi, supaya mereka sendiri dapat merasai bau busuk, pencemaran dan gangguan yang telah lama ditanggung oleh penduduk setempat. Masalah ternakan babi di Kuala Langat bukan isu baharu, malah telah berlarutan lebih 16 tahun melibatkan pencemaran sungai, serangan lalat dan bau yang menjejaskan kualiti hidup rakyat sejak sekitar tahun 2010.

Data Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada tahun 2023 mendedahkan satu realiti yang mengejutkan. Selangor merekodkan sebanyak 260,930 ekor babi diternak, jauh mengatasi jumlah ternakan lembu, kerbau, kambing dan biri-biri yang jika digabungkan sekalipun hanya sekitar 75,000 ekor. Statistik ini menimbulkan persoalan besar, adakah keperluan terhadap daging babi di Selangor benar-benar mendesak sehingga memerlukan penternakan beratus-ratus ribu ekor atau sebenarnya terdapat agenda ekonomi lain di sebalik projek ini?

Dengan angka sedemikian, kebimbangan bahawa penternakan babi skala besar ini bertujuan memenuhi pasaran eksport dan menguntungkan pihak tertentu tidak boleh dipandang remeh. Ia jelas kelihatan melangkaui keperluan domestik, sekali gus menguatkan hujah bahawa kepentingan rakyat setempat bukan lagi keutamaan utama dalam membuat keputusan.

Namun begitu, meskipun Sultan Selangor telah menyatakan bantahan, kerajaan negeri seolah dilihat tetap berkeras mahu meneruskan projek berkenaan. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan bahawa operasi penternakan akan diperketat, alam sekitar akan dilindungi dan kebajikan penduduk akan dijaga. Persoalannya, selepas lebih satu dekad masalah ini gagal diselesaikan sepenuhnya, sejauh mana jaminan tersebut mampu diyakini?

Hakikatnya, awal tahun 2026 menyaksikan kegusaran semakin memuncak dalam kalangan majoriti umat Islam di Selangor. Di Hulu Langat, isu kemasukan budaya songsang diperkatakan, manakala di Kuala Langat pula, penternakan babi skala besar terus dipaksakan. Soalnya kini, ke manakah arah sebenar Selangor dibawa dan siapakah yang sebenarnya diutamakan dalam setiap keputusan besar kerajaan negeri?

UMNO Selangor, anda semua senyap sunyi?

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.