Sekolah Patriotik UMNO: Membina Pelapis, Memperkasa Generasi Muda, Menjamin Masa Depan Parti - Dato’ Sri Wan Rosdy
YAB Dato’ Sri DiRaja Wan Rosdy bin Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sekolah Patriotik UMNO, dalam ucapan alu-aluan Majlis Konvokesyen Ke-2 Sekolah Patriotik UMNO (SPU) menekankan bahawa institusi ini bukan sekadar kursus politik tetapi wadah strategik untuk membina generasi muda UMNO yang berilmu, berdisiplin, berprinsip, dan berjiwa besar.
Beliau menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas
kejayaan SPU melangkah ke Siri ke-3 dan menegaskan bahawa pengkaderan ini
adalah manifestasi visi jauh Presiden UMNO yang mahu memastikan parti kekal
relevan, progresif dan berdaya saing melalui pengupayaan anak muda. Kehadiran
Presiden UMNO dalam majlis konvokesyen ini, menurut beliau, menjadi simbol
sokongan padu kepimpinan parti terhadap usaha membina pelapis dan memperkasa
generasi muda UMNO.
Dato’ Sri Wan Rosdy menekankan bahawa SPU bukan sekadar latihan politik semata-mata. Ia menekankan pemahaman mendalam terhadap sejarah, prinsip perjuangan parti serta nilai agama, bangsa dan tanah air. Melalui modul kepimpinan, latihan organisasi dan program daurah kerohanian, pelajar dididik agar memiliki ketahanan ideologi dan kematangan kepimpinan yang seimbang antara idealisme dan realiti perjuangan.
Bagi Siri ke-3 SPU, tempoh pengajian berlangsung dari
September hingga Disember 2025 dengan penyertaan 58 pelajar di mana 56 berjaya
menamatkan pengajian. Dato’ Sri Wan Rosdy menekankan bahawa kejayaan ini
membuktikan pelajar SPU bukan sahaja aktif dalam parti tetapi telah diberi
kepercayaan memimpin di medan sebenar termasuk penglibatan di universiti
masing-masing sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar.
Sehingga kini, seramai 158 Patriot telah menamatkan
pengajian di SPU sejak Siri pertama. Dalam majlis konvokesyen kali ini, 110
Patriot daripada Siri ke-2 dan Siri ke-3 diraikan sebagai simbol kejayaan
proses pembentukan kepimpinan muda UMNO yang sedang dibina bersama. Sekolah
Patriotik UMNO menjadi wadah membentuk pelapis yang bukan sahaja celik politik,
tetapi juga berilmu, berdisiplin, berprinsip dan berjati diri teguh.
Dato’ Sri Wan Rosdy menekankan bahawa pengurusan SPU adalah amanah perjuangan bukan untuk kepentingan individu. Jawatankuasa pengelola komited memastikan setiap pengisian membina pemimpin masa hadapan yang berintegriti, berani, berjiwa besar dan sanggup memikul amanah parti. Beliau menyeru seluruh kepimpinan UMNO mengenal pasti, membimbing dan menghantar bakat-bakat muda terbaik untuk pengambilan SPU Siri ke-4 yang kini dibuka secara rasmi.
Penghargaan turut disampaikan kepada ibu bapa Patriot,
kepimpinan tertinggi UMNO, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, serta UMNO
Bahagian dan tenaga pengajar SPU yang telah memastikan program berjalan lancar
dan berkualiti. Dato’ Sri Wan Rosdy menekankan bahawa SPU adalah milik mutlak
UMNO, perlu dibina secara kolektif dan disesuaikan dengan realiti serta cabaran
politik semasa.
Dalam pesanan penutup, beliau menegaskan bahawa
konvokesyen bukan noktah perjalanan, tetapi titik mula amanah perjuangan. Ilmu,
disiplin, dan prinsip yang dibina bukan untuk dibanggakan, tetapi untuk
diamalkan di medan bakti. Kepada graduan, beliau menekankan akronim SETIA
sebagai pegangan perjuangan:
- S
– Setia kepada parti walau diuji.
- E
– Empati dengan denyut nadi rakyat.
- T
– Taat kepada prinsip perjuangan dan kepimpinan parti.
- I
– Ikhlas dalam setiap langkah khidmat.
- A
– Amanah dalam setiap tanggungjawab yang dipikul.
“Jadilah benteng ketika parti diserang, obor ketika
perjuangan memerlukan cahaya, dan nadi yang mengalirkan semula semangat ke
dalam tubuh UMNO. Perjuangan ini bukan milik sehari atau satu generasi, tetapi
amanah sepanjang zaman,” tegas Dato’ Sri Wan Rosdy.
Konvokesyen ini menegaskan bahawa UMNO terus melangkah
dengan yakin, membina pelapis yang berani, berilmu, dan setia – tersemat masa
depan parti dan maruah negara di tangan generasi muda yang telah dilatih
melalui Sekolah Patriotik UMNO.




Comments
Post a Comment