UMNO sedang melalui fasa paling mencabar sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), apabila parti itu bukan sahaja kehilangan kuasa, malah terpaksa beradaptasi dengan realiti baharu berkongsi kuasa dalam Kerajaan Perpaduan pasca PRU15. Landskap politik yang semakin cair menguji kesetiaan pemimpin serta keyakinan akar umbi, menjadikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebagai medan penting untuk menilai kesiapsiagaan parti menghadapi PRU16.
Dalam wawancara bersama wartawan Berita Harian, Suzalina Halid, Naib Presiden UMNO, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail mengakui UMNO tidak pernah sunyi daripada cabaran. Sejarah penubuhan PAS dan Semangat 46 yang berakar daripada DNA UMNO pernah menguji kekuatan parti, namun dapat diatasi. Kekalahan PRU14 membawa implikasi besar apabila ramai Ahli Parlimen berpindah parti dan Presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, meletakkan jawatan. Kepimpinan seterusnya oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berlaku dalam keadaan paling sukar dengan memimpin parti sebagai pembangkang tanpa kuasa kerajaan.
Wan Rosdy menzahirkan penghormatan terhadap kepimpinan Presiden yang tidak memilih jalan mudah walaupun berdepan tekanan hebat pada 2018. Ketika UMNO ditekan untuk dibubarkan, keputusan untuk kekal mempertahankan parti dianggap sebagai titik ketahanan yang menyelamatkan UMNO. Walaupun berdepan tuduhan dan tohmahan, kepimpinan terus diperkukuh dan hasilnya UMNO hari ini dilihat lebih stabil. Menurut beliau, kesatuan dan kesetiaan kepada kepimpinan adalah resipi utama untuk kebangkitan semula parti.
Mengulas rasa tidak puas hati sebahagian ahli yang merajuk dan kecewa, Wan Rosdy menekankan prinsip “Party Centric, UMNO Centric”. Dalam situasi politik dinamik dan perkongsian kuasa, setiap keputusan mesti mengutamakan kepentingan parti. Beliau mengingatkan ahli agar tidak terperangkap dengan umpan pembangkang yang memanipulasi sentimen kecewa demi kepentingan peribadi. Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, katanya berlaku demi titah Yang di-Pertuan Agong dan kestabilan negara dengan syarat asas Perlembagaan iaitu Islam, hak istimewa Melayu, Raja-Raja dan bahasa Melayu wajib dipertahankan dan dipersetujui semua pihak.
Beliau menegaskan, tanpa Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak akan mempunyai Menteri Besar dan ruang untuk mentadbir. Justeru, peranan UMNO dalam kerajaan wajar dihargai kerana membolehkan parti membantu pembangunan ekonomi dan keselamatan negara. Isyarat kefahaman akar umbi juga semakin jelas apabila lebih 600 usul PAU 2025 tidak mengemukakan tuntutan agar UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan menunjukkan pertikaian itu kian reda dengan peredaran masa dan hasil yang dapat dilihat.
Tentang ciri calon dan ahli yang mampu membawa kemenangan, Wan Rosdy menekankan penerimaan pengundi, rekod prestasi dan keutamaan kepada parti serta rakyat. Wakil rakyat perlu bekerja seolah-olah akan bertanding semula, dan jika baton diserahkan kepada calon lain, peralihan itu mesti memudahkan kempen seterusnya. Prinsip “party first” ditegaskan dengan tiada sabotaj, hormat keputusan kolektif dan semua pihak perlu menjadi pemain pasukan, bukan mencari jaringan sendiri.
Sebagai azimat menjelang PRU16, Wan Rosdy menyeru seluruh ahli UMNO untuk kekal dalam satu kapal dengan satu nakhoda. Kepercayaan penuh kepada kepimpinan dan kerjasama kolektif adalah kunci menempuh ombak cabaran. Setiap peranan walau sekecil mana sekali pun tetap menyumbang kepada kemenangan. PAU, katanya bukan sekadar perhimpunan tetapi ruang mendengar, memahami dan membawa pulang intipati penting untuk penambahbaikan parti menuju kemenangan dengan “winning mentality”.

Comments
Post a Comment