PAU2025: Wanita Johor Bangkit Sebagai Induk Perjuangan - Hajah Haslinda Salleh


Wanita UMNO Johor sekali lagi membuktikan peranan mereka bukan sekadar pelengkap sejarah tetapi penggerak utama yang menentukan arah dan kekuatan parti. Dalam saat UMNO berada di puncak kejayaan, Wanita UMNO Johor tampil sebagai penggerak. Dalam saat parti diuji, mereka kekal menjadi benteng. Kesetiaan Wanita UMNO Johor berpaksikan prinsip perjuangan UMNO iaitu membela agama, mengangkat martabat bangsa dan memakmurkan negara tanpa goyah oleh gelombang politik yang silih berganti jelas Jurucakap Wanita UMNO Johor, Yang Berhormat Hajah Haslinda Salleh, Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis merangkap ADUN Tenang di Perhimpunan Agung Wanita 2025 di WTC, KL semalam.

Sidang Perwakilan Wanita UMNO Johor dimulakan dengan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas pelantikan beliau sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi pada 16 Disember 2025. Pelantikan ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kesabaran, ketaatan dan kesetiaan beliau kepada institusi parti serta kepimpinan, hasil doa yang tidak pernah putus daripada Wanita UMNO seluruh negara. Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada YAB Presiden UMNO atas sokongan dan perkenan beliau yang sekali gus menjadi pengiktirafan besar kepada peranan Wanita UMNO dalam landskap kepimpinan nasional.

Wanita Johor juga menzahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah yang membebaskan YAB Presiden UMNO daripada kes-kes yang dikaitkan sebelum ini. Ia disifatkan sebagai hasil doa, munajat dan kesetiaan berterusan Wanita UMNO. Doa terus dipanjatkan agar kepimpinan Presiden dilindungi dan dirahmati Allah SWT dalam meneruskan khidmat kepada parti dan negara.

Dalam menghadapi realiti politik moden, Wanita UMNO Johor memahami bahawa kepercayaan rakyat tidak lagi boleh dibina dengan janji semata-mata. Ia mesti dibuktikan melalui prestasi, kehadiran di lapangan dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat. Justeru, Wanita UMNO Johor memilih untuk bekerja dan membuktikan kemampuan, bukan sekadar berpidato.

Hakikat ini terbukti melalui prestasi pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022, kadar kemenangan calon wanita UMNO mencapai 66.7 peratus, manakala di peringkat Parlimen dalam PRU15, Wanita UMNO Johor mencatatkan kemenangan seratus peratus.

Tokoh-tokoh wanita Johor seperti Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula membuktikan keupayaan wanita UMNO Johor menggalas amanah besar di peringkat nasional. Di peringkat negeri, ADUN wanita UMNO berperanan sebagai jambatan antara dasar dan realiti, memastikan pelaksanaan polisi kerajaan negeri benar-benar sampai kepada rakyat.

Namun begitu, Wanita Johor berlapang dada mengakui bahawa perwakilan wanita dalam struktur pembuat keputusan masih belum mencerminkan potensi sebenar. Keupayaan telah terbukti tetapi ruang kepimpinan perlu diperluaskan.

Masa depan UMNO diyakini akan lebih kukuh sekiranya pembangunan kepimpinan wanita dilaksanakan secara sistematik dan berterusan merangkumi latihan strategik, keupayaan komunikasi dasar, pengurusan krisis dan kebolehan membuat keputusan dalam situasi kompleks.

Seiring itu, Wanita Johor menegaskan kepentingan pengkaderan calon wanita secara terancang dari peringkat cawangan dan bahagian. Parti tidak boleh menunggu krisis atau kekosongan untuk mencari calon wanita. Pelapis mesti dibina lebih awal, dibimbing dengan ilmu, pengalaman dan nilai perjuangan UMNO.

Dalam konteks ini, cadangan pelaksanaan kuota minimum 30 peratus wanita dilihat sebagai mekanisme strategik untuk memperkukuh parti, bukan tuntutan simbolik. Ia bertujuan memastikan bakat dan kebijaksanaan wanita tidak terpinggir daripada proses membuat keputusan. Data UNDP dan SPR menunjukkan penglibatan wanita dalam kepimpinan politik menyumbang kepada dasar yang lebih inklusif, malah wanita membentuk hampir 50 peratus pengundi berdaftar di Malaysia satu realiti yang tidak boleh diabaikan. Kuota ini juga wajar diperluaskan ke jawatankuasa dan lembaga berkaitan kerajaan selaras dengan dapatan World Bank dan Dasar Wanita Negara yang menekankan keseimbangan jantina sebagai pemacu pembangunan mampan.

Johor ketika ini mencatatkan bilangan Wakil Rakyat Wanita Barisan Nasional paling ramai dengan dua Ahli Parlimen dan tujuh ADUN. Dalam PRN lalu, lapan daripada sepuluh calon wanita BN berjaya memenangi kerusi. Sasaran 30 peratus bersamaan 18 calon wanita daripada 56 kerusi wajar menjadi aspirasi namun mengekalkan sekurang-kurangnya 10 calon wanita juga sudah merupakan langkah besar dan bermakna.

Lebih penting, Wanita UMNO Johor menyedari bahawa wanita hari ini bukan lagi pemerhati tetapi “kingmaker” yang menentukan jatuh bangun kuasa. Sebagai blok pengundi terbesar, suara wanita mempunyai pengaruh signifikan dalam menentukan keputusan pilihan raya. Justeru, Wanita UMNO Johor harus tampil sebagai suara penyatu dengan menolak politik perpecahan dan kebencian serta membawa pendekatan matang, berprinsip dan sederhana.

Dalam konteks Johor, pendirian ini jelas. Johor bukan kerajaan campuran, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi. Kerajaan negeri mentadbir untuk semua rakyat dengan peruntukan yang adil termasuk kepada wakil pembangkang. Politik biadab dan provokasi tidak wajar apatah lagi melupakan kerjasama yang telah terjalin dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebelum ini.

Berlandaskan Surah At-Taubah ayat 71, Wanita UMNO Johor menegaskan bahawa kepimpinan dalam Islam adalah amanah bersama lelaki dan wanita sebagai awliya’ iaitu pemimpin, penolong dan pelindung masyarakat. Prinsip ini diterjemahkan melalui sokongan penuh terhadap kepimpinan negeri di bawah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi serta inisiatif Kerajaan Negeri Johor seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang memberi manfaat luas kepada rakyat.

Pencapaian ekonomi Johor yang memberangsangkan dengan pelaburan RM218 bilion, lebih 64,000 peluang pekerjaan, kadar pengangguran rendah, pertumbuhan KDNK tertinggi negara dan hasil negeri melepasi sasaran maka Wanita UMNO Johor berdiri bangga sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat.

Justeru, Wanita UMNO Johor bersedia menjadi ‘Induk perjuangan’ yakni mengasuh, melindungi dan mengayuh parti menuju kemenangan dengan azam yang diperkukuh, saf yang dirapatkan dan suara yang disatukan, Wanita UMNO Johor terus berdiri teguh memimpin, memperjuang dan mempertahankan maruah bangsa, kesucian agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.