Setiap kali Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung, satu hakikat tidak pernah berubah iaitu UMNO kekal menjadi pusat perhatian politik negara.
Walaupun pembangkang berulang kali melaungkan naratif bahawa UMNO sudah lemah, realitinya PAU terus menjadi medan tumpuan utama orang Melayu, Bumiputra dan seluruh rakyat Malaysia. Inilah sebab sebenar mengapa pembangkang sebenarnya resah dan defensif.
Naratif “UMNO sudah tidak relevan”, “UMNO menggali kubur sendiri” atau “UMNO akan kalah teruk pada PRU akan datang” bukanlah analisis jujur, sebaliknya satu kempen psikologi yang diulang-ulang bagi menenangkan kegusaran dalaman pembangkang sendiri. Hakikatnya, tiada satu pun perhimpunan parti pembangkang yang mampu mencipta kesan nasional seperti PAU baik dari segi liputan, impak naratif mahupun perhatian akar umbi dan pusat perhatian rakyat.
Ironinya, golongan yang paling menunggu-nunggu PAU bukan hanya ahli UMNO tetapi pembangkang itu sendiri. Mereka meneliti setiap ucapan, setiap isyarat politik dan setiap pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Apakah mesej besar yang akan dibawa? Ke mana arah tuju UMNO selepas ini? Dan yang paling penting, adakah Zahid Hamidi masih menjadi sandaran dan harapan ahli untuk memimpin fasa kebangkitan parti?
Soalan-soalan ini membuktikan satu perkara iaitu UMNO masih ‘centric’ dalam landskap politik nasional. Setiap keputusan UMNO memberi kesan langsung kepada pembentukan kerajaan, kestabilan politik dan masa depan politik Melayu. Inilah realiti yang tidak mampu dinafikan, walau sekuat mana pun kempen persepsi cuba dimainkan.
Sejarah juga menunjukkan bahawa setiap kali PAU berlangsung, akan wujud “angin perubahan”.
PAU bukan sekadar ritual tahunan tetapi medan penentuan hala tuju, penyusunan semula kekuatan dan pengukuhan legitimasi kepimpinan. Banyak detik penting politik negara bermula daripada PAU sama ada kebangkitan, penstrukturan semula atau penegasan pendirian parti.
PAU2025 dijangka sekali lagi menjadi titik penanda penting. Bukan kerana UMNO mahu membuktikan sesuatu kepada pembangkang tetapi kerana UMNO sedar tanggungjawabnya sebagai parti tunjang orang Melayu dan komponen utama kestabilan negara. Selagi PAU terus menjadi rujukan nasional, selagi itulah UMNO tidak boleh dianggap parti pinggiran.
Pembangkang boleh terus menafikan tetapi hakikat politiknya jelas bahawa UMNO masih menjadi pusat graviti politik Malaysia dan PAU adalah bukti paling nyata bahawa UMNO belum selesai, malah sedang menyusun langkah untuk kembali lebih dominan.

Comments
Post a Comment