Kenyataan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa “jika suatu hari nanti UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaannya, PAS akan dibubarkan” dilihat semakin tidak relevan. Ia sepatutnya satu wasiat politik, satu cabaran moral dan satu garis pemisah yang jelas antara keikhlasan perjuangan dan permainan persepsi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah menyahut wasiat itu. UMNO secara rasmi meminda Perlembagaannya dan meletakkan Islam sebagai asas perjuangan parti. Ini bukan langkah kosmetik, tetapi satu keputusan besar yang mengikat hala tuju parti secara struktural dan ideologi.
Persoalannya sekarang sangat mudah tetapi menyakitkan di mana PAS berdiri hari ini?
Jika wasiat itu benar-benar dihormati, PAS sepatutnya bermuhasabah secara jujur bukan mencari helah politik untuk terus hidup. PAS lahir dengan naratif bahawa UMNO tidak Islamik. Namun apabila UMNO secara rasmi menjadikan Islam sebagai asas perjuangan, naratif itu runtuh dengan sendirinya.
PAS belum lagi runtuh. PAS memilih untuk berpura-pura pekak.
Lebih mengecewakan, PAS hari ini bukan sahaja gagal menunaikan wasiat tokoh mereka sendiri, malah semakin selesa menggunakan agama sebagai alat politik bukan sebagai panduan dasar. Retorik semakin keras tetapi hasil pentadbiran di negeri-negeri bawah PAS kekal lesu. Isu ekonomi, kebajikan, peluang pekerjaan dan pembangunan rakyat terus ketinggalan sementara mimbar dan ceramah menjadi medan serangan tanpa penyelesaian.
Ini menimbulkan persoalan besar, adakah PAS benar-benar parti Islam atau parti yang hidup daripada label Islam?
Ironinya, PAS kini bersekongkol dengan parti-parti yang suatu ketika dahulu mereka labelkan sebagai tidak Islamik malah pernah dituduh menolak hudud dan syariah. Prinsip yang kononnya suci dahulu kini cair demi kuasa. Wasiat Nik Aziz diketepikan asalkan PAS terus wujud dalam peta politik.
Hakikatnya, PAS tidak lagi berjuang kerana Islam semata-mata. PAS berjuang untuk kelangsungan politik sendiri.
Jika PAS jujur dengan sejarah, ikhlas dengan wasiat pemimpinnya dan berani dengan prinsip yang dilaungkan, maka PAS seharusnya terbubar dengan sendirinya atau sekurang-kurangnya melakukan reformasi total terhadap identiti dan perjuangan mereka.
Jika tidak, PAS perlu berhenti bercakap soal moral, dosa dan syurga. Rakyat sudah matang. Mereka boleh bezakan antara perjuangan tulen dan sandiwara politik bertopengkan agama.
Sejarah tidak pernah memihak kepada mereka yang mengkhianati wasiat sendiri.

Comments
Post a Comment