Kenyataan Exco PAS Terengganu, Dr. Azman yang berbunyi “kena jual mahal sikit, barang tengah berharga, permintaan tinggi” menimbulkan persoalan dalam landskap politik semasa. Soalnya mudah, kepada siapa PAS sedang “menjual mahal”? UMNO tidak pernah mengemukakan sebarang tawaran kepada PAS atau BERSATU. Maka adakah kenyataan itu ditujukan kepada Muhyiddin Yassin atau sekadar retorik politik untuk mencipta persepsi?
Lebih mengelirukan, kenyataan yang didakwa itu gagal dikesan di akaun Facebook milik Dr. Azman. Sama ada ia telah dipadam, ditarik balik atau sekadar petikan yang dimanipulasi, hakikatnya polemik ini hanya menguatkan satu Gambaran bahawa ada pihak yang masih berangan untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan melalui ‘Langkah tebuk atap’.
Hakikat politik semasa adalah jelas dan konsisten. UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah menegaskan pendirian untuk kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pendirian ini adalah keputusan sejak awal penubuhan kerajaan pada Disember 2022 dan tidak pernah berubah.
Beliau turut menegaskan UMNO tidak akan mengulangi kesilapan lalu dengan meruntuhkan kerajaan melalui pintu belakang. Prinsip ini diperkuatkan lagi apabila mesyuarat Biro Politik UMNO membincangkan cadangan Pemuda UMNO untuk menarik diri daripada kerajaan. Walaupun pandangan itu didengar, tiada keputusan muktamad dibuat kerana sebarang langkah besar perlu diteliti secara menyeluruh dan berlandaskan kepentingan negara, bukan emosi politik.
Lebih penting, UMNO tidak mahu “pisang berbuah dua kali”. Pengalaman dikhianati dalam kerjasama politik sebelum ini menjadi pengajaran mahal. Justeru, sebarang nostalgia menghidupkan semula kerjasama lama, termasuk Muafakat Nasional, diteliti dengan penuh berhati-hati. UMNO tidak berminat untuk dipatuk ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama.
Dalam konteks ini, PAS perlu bersikap realistik dan matang. Kerajaan Perpaduan bukan medan tawar-menawar politik, apatah lagi untuk dijadikan komoditi “jual mahal”. Rakyat menuntut kestabilan, bukan percaturan licik yang meruntuhkan kerajaan demi kepentingan sempit.
PAS tidak perlu berangan untuk memusnahkan Kerajaan Perpaduan melalui ‘Langkah tebuk atap’. Pendirian UMNO dan BN adalah jelas, kukuh dan konsisten. Politik matang menuntut kejujuran dan tanggungjawab, bukan sindiran dan ilusi tawar-menawar. Negara ini lebih besar daripada permainan kuasa sesiapa.


Comments
Post a Comment