Kenyataan PAS yang menyambut baik peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dan seterusnya seolah-olah “membuka jalan” untuk PAS memimpin Perikatan Nasional (PN) wajar dipersoalkan secara serius. Ini bukan soal emosi politik tetapi soal kejujuran sejarah dan etika dalam gabungan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan keputusan Bersatu itu sebagai “cukup baik” demi membolehkan PN bergerak ke hadapan. Namun persoalannya mereka dilihat bergerak ke hadapan dengan ingatan selektif siapa yang memikul beban paling berat sejak awal?
Hakikatnya PN tidak dibina dengan ceramah semata-mata. PN dibina dengan wang, struktur, risiko undang-undang dan pengorbanan politik yang sebahagian besarnya ditanggung oleh Bersatu. Dari dana operasi, jentera pilihan raya, kos kempen sehinggalah mempertahankan gabungan ketika ditekan hebat oleh musuh politik dan aparat negara, Bersatu berada di barisan paling hadapan.
PAS pula berada dalam kedudukan selesa dengan jentera akar umbi kukuh, kewangan parti relatif stabil dan negeri-negeri tadbiran yang tidak terganggu. Ini bukan salah PAS tetapi jangan pula bertindak seolah-olah PN boleh hidup tanpa nadi kewangan dan struktur nasional yang pernah digerakkan oleh Bersatu
Lebih menghairankan, apabila Muhyiddin berundur secara terhormat demi meredakan tekanan terhadap gabungan, ia tidak disambut dengan rasa hormat yang setimpal sebaliknya dijadikan isyarat politik bahawa PAS kini “layak” mengambil alih kepimpinan PN. Ini bukan kepimpinan berteraskan muafakat, ini langkah opportunistik yang dibungkus dengan bahasa harmoni.
Jika benar PAS mahu memimpin PN ke PRU akan datang, persoalan asas mesti dijawab dahulu:
Apakah PAS bersedia memikul beban kewangan, risiko undang-undang, tekanan antarabangsa dan serangan institusi seperti yang pernah ditanggung Bersatu?
Atau PAS hanya mahu berada di kerusi pemandu tetapi masih mengharap minyak ditanggung orang lain?
PN bukan milik satu parti. Ia adalah amanah gabungan. Dan dalam amanah, jasa tidak boleh dipadam, pengorbanan tidak boleh diperkecil dan kesetiaan tidak boleh diuji ketika rakan sedang lemah.
Politik yang matang bukan mengambil kesempatan ketika rakan berundur tetapi menjaga maruah gabungan supaya rakyat melihat PN sebagai alternatif berprinsip bukan sekadar pakatan yang berebut kuasa.
PAS perlu memilih: memimpin dengan adab dan ingatan, atau memenangi kepimpinan dengan cara yang akhirnya merosakkan kepercayaan dalam PN sendiri.
Rakyat sedang menilai. Dan sejarah tidak pernah lupa walaupun ahli politik cuba berbuat demikian.

Comments
Post a Comment