Pahang: Bekas Blogger UMNO Tiba-tiba Sayang MCA


Pada jam 12 tengah malam, 11 Januari 2026, satu posting dimuat naik oleh Mohd Faisal Rohban, atau lebih dikenali sebagai RBF, seorang bekas blogger UMNO yang kini diketahui cenderung kepada BERSATU.

Posting tersebut menyerang luahan hati Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan pengalaman beliau bekerjasama dengan MCA di Pahang. Apa yang menghairankan, isu yang sebenarnya sudah reda tiba-tiba dipanaskan semula oleh pihak yang tidak berkepentingan langsung dengan pentadbiran negeri.

Hakikatnya, kepimpinan MCA sendiri telah mengambil pendekatan matang. Wong Tat Chee, pemimpin kanan MCA Temerloh secara terbuka menyifatkan kenyataan Menteri Besar Pahang itu sebagai luahan jujur berasaskan pengalaman tanpa niat mengguris perasaan mana-mana pihak. UMNO Pahang melalui Ketua Penerangannya, Dato’ Seri Shahaniza Shamsuddin turut menjelaskan bahawa kenyataan tersebut perlu dilihat dalam konteks keperluan pentadbiran dan kelancaran urusan kerajaan negeri bukannya satu penilaian terhadap nilai atau sumbangan mana-mana parti.

Namun apabila keadaan sudah sejuk, muncul pula RBF bersama seorang loyar buruk, Ahmad Shuaib, yang dilihat cuba meniup bara lama dan tindakan mereka jelas tidak bersifat spontan. Coraknya tersusun dan terancang, seolah-olah ada skrip yang sedang dimainkan untuk menghidupkan kembali sentimen lama demi kepentingan politik tertentu.

Lebih ketara, beberapa minit selepas posting mereka disiarkan, Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail, tampil memberikan komen dan mempertahankan naratif tersebut dengan ayat provokatif seperti biasa dengan ‘lagu UMDAP’ mula dinyanyikan. Kehadiran pantas ini mengukuhkan persepsi bahawa serangan terhadap Menteri Besar Pahang dan sindiran dengan menggunakan “Mat Tere” bukan kebetulan tetapi sebahagian daripada usaha terancang untuk mencetuskan ketegangan kaum dan parti.

Persoalannya, sejak bila pula bekas blogger UMNO menjadi juara MCA? Jawapannya mudah, ini bukan soal MCA tetapi helah lama untuk memainkan naratif ‘UMDAP’ dan mengalihkan perhatian daripada masalah dalaman BERSATU sendiri. Parti itu kini sedang bergelut dengan krisis kepimpinan, termasuk pemecatan Datuk Saifuddin Abdullah yang menimbulkan reaksi tidak puas hati dalam kalangan pimpinan akar umbi BERSATU Pahang seperti yang telah tersebar di media pada 10 Januari lalu.

Daripada berdepan isu pemecatan dan perpecahan dalaman, BERSATU memilih jalan mudah, menghangatkan isu luahan hati Menteri Besar Pahang terhadap MCA. Lebih buruk, serangan mereka dilakukan dengan cara yang biadab dan menghina termasuk memanipulasi individu seperti Mat Tere sehingga melampaui batas adab. Hakikatnya, mereka yang mengenali Mat Tere tahu keadaan sebenar beliau dan serangan sedemikian hanya menyerlahkan kekeringan moral pihak yang melakukannya.

Jika diteliti secara jujur, tiada satu pun kenyataan Menteri Besar Pahang yang bersifat kesat, menghina atau menyerang mana-mana parti. Ia sekadar perkongsian pengalaman pentadbiran. Malah, rekod membuktikan bahawa beliau tidak pernah berkompromi dengan DAP apabila melibatkan kepentingan rakyat Pahang, termasuk ketika berdepan secara terbuka dengan Ahli Parlimen DAP Puchong, Yeo Bee Yin.

Ahli-ahli UMNO diingatkan agar tidak terperangkap dengan sandiwara bekas blogger UMNO yang kononnya tampil membela MCA. Hakikatnya, mereka hadir untuk menenggelamkan isu sebenar. BERSATU kini sedang melalui fasa pemecatan demi pemecatan selepas episod letak jawatan beramai-ramai dan krisis ini semakin parah apabila pemimpin yang dilihat tidak sehaluan dengan Muhyiddin Yassin disingkirkan tanpa belas kasihan.

Ironinya, parti yang pernah menikam PAS di Perlis demi jawatan Menteri Besar, kini tidak teragak-agak menikam pemimpin sendiri. Ketua Penerangan mereka pula sibuk menjadi pengadu domba, meniup api perpecahan sesama Melayu sambil mengangkat diri sebagai kononnya juara isu ‘UMDAP’. Inilah wajah sebenar BERSATU yang sedang berantakan dari dalam.

Ahli UMNO tidak perlu terpengaruh dengan dakyah dan fitnah BERSATU. Mereka yang berada dalam “kapal” BERSATU kini sibuk menikam sesama sendiri dan mencampak orang keluar. UMNO kekal di landasan sendiri. Jangan terikut-ikut dengan permainan adu domba pihak yang sedang tenggelam dan cuba menarik orang lain jatuh bersama mereka.

Bekas blogger UMNO ini pun belum daftar sebagai ahli BERSATU.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.