Markaz PAS Atas Tanah Milik Orang


Kuala Lipis hari ini gempar dengan satu isu yang mencetuskan kemarahan rakyat apabila timbul cerita tanah pusaka cuba dirampas bagi mengekalkan Markaz PAS.

Persoalannya, mengapa wujud Markaz PAS di atas tanah milik orang lain? Lebih membimbangkan, tanah berkenaan adalah tanah pusaka keluarga dan sehingga kini tiada walau sekeping dokumen, wasiat atau persetujuan sah yang membuktikan tanah tersebut pernah diserahkan kepada PAS Kuala Lipis untuk tujuan pembinaan markaz parti.

Isu ini menjadi semakin panas apabila PAS Kuala Lipis didakwa enggan menyerahkan kembali tanah tersebut kepada anak arwah pemilik tanah, walaupun hak milik jelas berada di pihak keluarga. Sikap enggan berganjak inilah yang menimbulkan persepsi bahawa kepentingan parti diletakkan mengatasi hak anak yatim.

Keadaan bertambah buruk apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Pahang pula diserang dan dijadikan sasaran, dituduh sebagai dalang kononnya mahu “menghalau Markaz PAS” dari tapak tersebut. Tuduhan ini dilihat sebagai cubaan mengalihkan isu sebenar iaitu hak milik tanah anak yatim cuba dirompak. Hakikatnya Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Pahang membantu memproses permohonan sahaja.

Untuk rekod, Skim Rumah Rakyat Pahang (RRP) ialah skim pemberian rumah percuma kepada rakyat Pahang yang tidak berkemampuan dengan syarat pemohon mempunyai tanah sendiri sebagai tapak pembinaan. Dalam kes ini, tanah tersebut adalah milik ibu kepada pemohon, justeru memenuhi syarat asas skim berkenaan. Maksudnya selepas kematian bapa kepada pemohon, tanah tersebut telah berpindah milik secara sah kepada isterinya, ibu kepada pemohon.

Namun apa yang berlaku hari ini amat mengejutkan. PAS dilihat mula bertindak agresif apabila markaz yang dibina di atas tanah itu diminta dikosongkan bagi memberi laluan kepada pembinaan rumah yang telah diluluskan dengan bantuan Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang.

Lebih menyedihkan, serangan terbuka dilakukan terhadap Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang melalui media sosial dengan pelbagai tohmahan jahat.

Keadaan berubah apabila anak arwah pemilik tanah tampil mempertahankan hak keluarganya dan membidas tuduhan tersebut secara terbuka. Selepas ditegur dan “dibalun” dengan fakta, hantaran berbaur fitnah itu dilaporkan terus dipadam satu tindakan yang seolah-olah mengesahkan kelemahan naratif jahat yang dibina sebelum ini.

Isu ini kini bukan lagi soal politik kepartian semata-mata. Ia adalah soal hak milik, keadilan dan maruah keluarga tersebut. Jika benar PAS menjunjung prinsip Islam yang menegakkan keadilan dan membela golongan lemah, maka isu ini menuntut penjelasan yang jujur dan tindakan yang berintegriti.

Tanah anak yatim bukan medan politik. Jika parti gagal membezakan antara perjuangan dan ketamakan kuasa, maka gelaran “lanun darat” bukan lagi provokasi tetapi satu persoalan yang lahir daripada tindakan sendiri.






Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.