UMNO bukan parti yang membuat keputusan berdasarkan emosi atau tekanan semasa. Sebagai sebuah parti yang telah melalui pelbagai cabaran sejak penubuhannya pada tahun 1946, UMNO dibentuk atas asas struktur, disiplin organisasi dan proses musyawarah yang jelas. Setiap keputusan besar termasuk berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan tidak ditentukan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui saluran yang sah dan berperlembagaan.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa kematangan politik UMNO terletak pada kebijaksanaan kepimpinannya dalam mengurus perbezaan pandangan. Beliau mengumpamakan sebarang keputusan besar seperti keluar atau kekal dalam kerajaan sebagai satu proses yang memerlukan tempoh bertenang, perbincangan menyeluruh dan pertimbangan matang bukan keputusan spontan tanpa rundingan.
Menurut Azalina, budaya bermusyawarah telah sebati dalam UMNO. Setiap isu dibincangkan bermula di peringkat Biro Politik, seterusnya dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menjadi medan tertinggi untuk perwakilan menyuarakan pandangan dan menentukan hala tuju parti. Inilah manifestasi sebenar keterbukaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan UMNO sejak sekian lama.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun tidak semua ahli UMNO dilihat sebagai golongan agamawan, nilai-nilai Melayu dan Islam tetap menjadi teras dalam budaya politik parti. Prinsip musyawarah, adab berbeza pandangan dan menghormati keputusan bersama menjadi amalan yang membezakan UMNO sebagai parti yang matang dan bertanggungjawab.
“Orang kalau nak bercerai atau kalau nak nikah balik ke dia mesti ada masa iddah kan takkan hari ni nak bercakap nak bercerai semalam dah lafaz, tak boleh la tu..nak bercerai bincang betul-betul dua keluarga…”
Pada saya UMNO parti yang dari 1946 kita dah melalui macam-macam cabaran, insya Allah kepimpinan dalam UMNO ni mempunyai kebijaksanaan kita sendiri dan bermula dengan Biro Politik dan kemudian kita ada PAU(Perhimpunan Agung UMNO) minggu depan insya Allah dan saya rasa UMNO selalu bermusyawarah, walaupun ahli UMNO tak semua nampak alim, dia adalah budaya-budaya Melayu dan Islam yang kita pakai…”
Dalam konteks Kerajaan Perpaduan, pendirian UMNO bukan soal takut atau teragak-agak tetapi soal memastikan setiap keputusan dibuat melalui saluran yang betul dan diterima oleh akar umbi. Akhirnya, UMNO menyerahkan kuasa penentu kepada perwakilan selaras dengan prinsip demokrasi dalaman yang menjunjung mandat ahli.
Pendekatan ini membuktikan bahawa UMNO kekal sebagai parti berstruktur, berpengalaman dan berhemah dalam mengurus kuasa. Dalam landskap politik yang semakin kompleks, kebijaksanaan untuk berbincang, mendengar dan membuat keputusan secara kolektif adalah kekuatan sebenar UMNO dalam memastikan kelangsungan perjuangan parti dan kestabilan negara.

Comments
Post a Comment