Kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis mencatat satu episod luar kebiasaan dalam amalan demokrasi negara apabila pemakluman mengenai keperluan mengadakan pilihan raya semula ditarik balik sesuatu yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz menegaskan, penarikan semula pemakluman berhubung kekosongan kerusi DUN selepas ia diumumkan kosong merupakan satu peristiwa baharu dari sudut perundangan yang wajar diteliti secara mendalam. Menurut beliau, perkembangan di Perlis memperlihatkan perubahan status yang tidak lazim dan berpotensi mencetuskan persoalan undang-undang baharu.
Mengulas perbandingan dengan kes lain, Dr Shamrahayu menjelaskan bahawa di peringkat Parlimen, sekiranya Speaker Dewan Rakyat memutuskan sesuatu kerusi tidak kosong, maka pilihan raya tidak akan diadakan. Begitu juga di peringkat negeri, kuasa menentukan status kekosongan terletak pada Speaker DUN. Namun, situasi di Perlis berbeza kerana kerusi telah diumumkan kosong sebelum status tersebut ditarik semula.
“Di Kelantan sebelum ini, Speaker DUN menyatakan kerusi kosong. Di Perlis pula, ia diumumkan kosong dan kemudiannya tidak kosong. Ini adalah satu peristiwa baharu yang memerlukan kita mencari dan menilai kedudukan perundangan yang lebih jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Wacana Sinar: Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN yang disiarkan dari Studio F Karangkraf. Program tersebut turut menampilkan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, dan dihoskan oleh Ismail Adnan.
Terdahulu, DUN Perlis menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi tiga kerusi yang sebelum ini diumumkan kosong secara luar jangka. Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa, termasuk jaminan PAS untuk terus komited bersama kerajaan negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional.
Tiga kerusi yang terlibat ialah DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji yang sebelum ini dikosongkan susulan ketidaklayakan wakil rakyat PAS di bawah Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis / Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.
Namun demikian, Dr Shamrahayu mengingatkan bahawa walaupun Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan atau menarik balik status kekosongan kerusi, kuasa tersebut perlu digunakan secara berhemah dan konsisten. Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa perubahan status yang kerap boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta menjejaskan kestabilan politik negeri.
Menurut beliau, jika penentuan status kekosongan sering berubah, ia bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah boleh mencetuskan persoalan terhadap keabsahan keputusan DUN dan membuka ruang kepada cabaran undang-undang oleh pihak yang tidak berpuas hati.
“Sekiranya ada pihak yang mempertikaikan penarikan balik kekosongan itu, maka isu ini boleh menjadi satu pertikaian undang-undang yang perlu diteroka dan dinilai dengan lebih mendalam,” jelasnya.
Mengulas isu keperluan pilihan raya semula, Dr Shamrahayu menjelaskan bahawa secara amnya, pilihan raya tidak perlu diadakan apabila sesebuah DUN telah melepasi tempoh tiga tahun dan baki penggal kurang daripada dua tahun. Namun, pengecualian boleh dibuat sekiranya kekosongan kerusi tersebut menjejaskan keupayaan DUN untuk membuat keputusan.
“Jika kekosongan itu menyebabkan kesukaran menentukan keputusan atau menjejaskan fungsi DUN, maka pilihan raya boleh dilaksanakan walaupun secara umumnya tidak diwajibkan,” katanya.
Kemelut kekosongan kerusi DUN Perlis bukan sekadar isu politik semasa tetapi mencerminkan satu precedent baharu dalam tafsiran kuasa Speaker dan amalan perundangan yang berpotensi memberi kesan besar kepada kestabilan politik serta kejelasan demokrasi berperlembagaan di peringkat negeri.

Comments
Post a Comment