Keberanian Presiden mohon ihsan Agong adalah suara hati UMNO yang tulus

 


Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Perhimpunan Agung UMNO 2025 melabuhkan tirainya dalam suasana kekeluargaan yang jarang dapat disangkal kehangatannya. Di Dewan Merdeka ini, kita bukan sekadar berhimpun sebagai perwakilan, tetapi sebagai sebuah keluarga besar yang disatukan oleh sejarah, pengorbanan dan satu perjuangan yang sama. Inilah rumah kita. Inilah medan kita menilai diri, memperbetulkan langkah dan mengukuhkan tekad.

Ucapan Dasar Presiden yang disampaikan semalam adalah suara yang lama ditunggu. Tegas namun menenangkan, berani tetapi mendamaikan. Ia bukan sekadar menjawab keresahan di dalam dewan malah menjadi penawar kepada kegelisahan akar umbi di luar sana. Ucapan itu menghulurkan tangan kepada yang ingin kembali, mendakap rakan yang pernah tersisih dan memperlihatkan sisi kepimpinan yang sering dilupakan. Jiwa besar seorang pemimpin yang memaafkan demi kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional.

Daripada semangat itulah lahir gagasan UMNO sebagai Rumah Bangsa. Sebuah rumah yang pintunya terbuka luas, dari cawangan hingga ke negeri, kepada semua yang ingin bersama  Melayu dan Bumiputera, tua dan muda, NGO, bekas pemimpin, sahabat lama dan wajah baharu. Rumah ini pernah menjadi tempat bernaung kepada pelbagai kaum dalam Barisan Nasional, dan hari ini ia mesti kembali menjadi simbol perpaduan nasional serta benteng kedaulatan negara.

Dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO bukan sekadar pelengkap angka. UMNO adalah suara orang Melayu dan Islam. Ketegasan Presiden bukan retorik, tetapi amanah yang dizahirkan secara berani di hadapan rakan-rakan gabungan, termasuk Perdana Menteri sendiri. Isu agama, Raja-Raja Melayu, bahasa, pendidikan dan budaya tidak boleh dilihat dengan satu kaca mata sahaja. Apabila isu-isu ini berlaku secara berulang, keresahan rakyat akan bertukar menjadi kemarahan. Dan UMNO berdiri di situ sebagai benteng dan suara mereka.

Keyakinan kita hari ini lahir daripada prinsip. Selagi UMNO berpegang kepada tanggungjawab mempertahankan agama, bangsa dan negara selagi itulah UMNO akan kekal relevan dan dihormati. Kesungguhan bahagian-bahagian dalam persiapan pilihan raya, diperkasakan oleh latihan MPL dan modul strategik yang menyeluruh, membuktikan parti ini sedang bergerak, bukan statik menunggu takdir.

Penubuhan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) pula adalah pelaburan masa depan. Ia bukan sekadar melahirkan pemimpin tetapi Patriot generasi yang berani, berfikir dan berjuang. Anak muda daripada pelbagai latar, termasuk yang bukan ahli UMNO, datang bukan untuk “ditarbiah” tetapi untuk didedahkan kepada nilai dan pilihan. Dan ramai yang akhirnya memilih UMNO dengan rela hati. Di sinilah benih harapan ditanam untuk UMNO 100 tahun akan datang.

Dalam soal keadilan buat Dato’ Sri Najib Razak, pendirian ini tidak pernah berubah. Ini bukan soal individu, tetapi soal kemanusiaan dan rasa keadilan rakyat. Keberanian Presiden memohon ihsan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong adalah suara hati UMNO yang tulus. Namun kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, pesan ini jelas jaga tutur kata. Hormati rumah kami sebagaimana kami tidak pernah mencampuri rumah kamu. Kesabaran ada batasnya. Hormat ada garisnya.

UMNO berhimpun di sini dengan satu tujuan untuk menang. Menang hanya boleh dicapai jika parti diutamakan mengatasi kepentingan peribadi. Pengalaman Pahang membuktikan bahawa prestasi, kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi adalah kunci kepercayaan. Tetapi kemenangan tidak akan datang jika kita terus berbalah menjadi batu api dan pengkhianat dalam selimut. Musuh sebenar bukan di luar, tetapi sikap yang merosakkan dari dalam.

Puteri adalah wajah masa depan, Pemuda suara generasi penentu, Wanita tulang belakang perjuangan. Kita tidak datang untuk meratap kekalahan tetapi untuk merampas kembali apa yang pernah hilang. Formulanya mudah setia kepada keputusan parti, bergerak sebagai satu pasukan, satu barisan dan satu arah.

Percayalah, kapal perjuangan ini sedang berlayar. Jangan ada yang membuang sauh ketika musuh menunggu. Nahkoda mungkin silih berganti, tetapi haluannya tetap sama. Kekuatan kita bukan pada individu, tetapi pada kesepakatan. Sejarah membuktikan, manusia hanya kuat apabila bersatu.

Dan wahai para pejuang agama dan bangsa, sekalipun tubuh diuji dan langkah diikat, jangan sekali-kali jiwa ini goyah. Berpautlah pada sumpah keramat, berpijaklah di bumi berdaulat. Pantang berundur sebelum kalah. Inilah UMNO. Inilah janji kita.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.