Bahaya Apabila Islam Dijadikan Alat Parti Politik


Mufti Perlis dalam salah satu kuliahnya menegaskan satu prinsip penting yang sering disalahfahami, politik adalah sebahagian daripada Islam, namun menjadikan Islam sebagai alat untuk kepentingan parti politik adalah sesuatu yang tidak dibenarkan. Perbezaan ini, menurut beliau amat kritikal kerana apabila Islam diperalatkan atas nama parti, fatwa dan pendirian agama boleh berubah mengikut kepentingan politik, bukan berdasarkan ilmu.

Beliau mengingatkan bahawa antara bahaya terbesar apabila Islam dipolitikkan secara kepartian ialah berlakunya perubahan hukum dan penilaian secara tidak konsisten. Apa yang dahulu dikafirkan, hari ini boleh diangkat sebagai perjuangan tertinggi. Apa yang semalam diharamkan, hari ini dianggap harus, malah diterima secara meluas. Perubahan ini bukan kerana nas atau ilmu baharu tetapi kerana perubahan kepentingan politik.

Lebih membimbangkan, menurut Mufti Perlis ialah kecenderungan untuk mengukur iman dan Islam seseorang berdasarkan kesetiaan kepada parti. Naratif seperti “siapa tidak bersama parti ini, dia tidak memperjuangkan Islam” atau “siapa tidak menyokong parti tertentu, dia munafik”, menunjukkan bagaimana parti politik telah diangkat ke tahap seolah-olah menjadi agama itu sendiri.

Sebagai perbandingan, Mufti Perlis mengingatkan umat Islam kepada ketokohan Imam al-Shafie seorang imam besar, faqih dan mempunyai mazhab yang diikuti hingga ke hari ini. Namun, Imam al-Shafie tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang tidak mengikuti mazhabnya, tidak pernah menyatakan bahawa hanya pengikut mazhabnya sahaja yang benar atau layak ke syurga dan tidak pernah mendakwa bahawa sesiapa yang tidak bersamanya bererti tidak memperjuangkan Islam.

Inilah garis pemisah yang perlu difahami dengan jelas bahawa politik sebagai sebahagian daripada Islam berbeza sama sekali dengan menjadikan Islam sebagai alat permainan politik kepartian. Apabila agama tunduk kepada strategi parti, maka hukum, fatwa dan pendirian boleh berubah-ubah mengikut musim dan kepentingan.

Mufti Perlis turut membangkitkan persoalan kesan jangka panjang akibat perubahan pendirian ini. Dahulu ada yang menyatakan perlembagaan tidak Islamik tetapi hari ini pendirian itu tidak lagi diulang. Persoalannya, apakah nasib mereka yang terdahulu yang pernah bertindak berdasarkan fatwa lama, yang bercerai-berai, yang memutuskan hubungan atau yang meninggalkan amalan tertentu kerana yakin dengan hukum yang disampaikan ketika itu seperti tidak makan sembelihan dari ahli parti politik lain?

Atas sebab itulah, Mufti Perlis menegaskan bahawa fatwa mesti lahir daripada ilmu, bukan daripada parti. Agama tidak boleh dijadikan alat sementara untuk meraih sokongan kerana kesannya bukan sahaja merosakkan kefahaman umat tetapi juga mencalar kesucian Islam itu sendiri.

Islam adalah agama kebenaran yang kekal, bukan slogan yang berubah mengikut musim politik.

Terkini Hadi Awang, Presiden parti PAS tiba-tiba berubah nada bahawa perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti-parti Melayu Islam khususnya antara Pas dan UMNO bukan berpunca daripada perbezaan akidah atau ideologi sebaliknya hanya perbezaan pendekatan politik yang sepatutnya boleh dirunding dan disatukan demi kepentingan umat. Pelik bukan?



Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.