Agenda PAU Lebih Besar Daripada Merajuk, Mendesak dan Mengugut


Memimpin sebuah organisasi besar bukan soal mengikut emosi semasa, apatah lagi tunduk kepada tekanan kelompok tertentu yang bersuara paling lantang. Kepimpinan sebenar menuntut kebijaksanaan, keberanian membuat keputusan tidak popular, serta keupayaan melihat jauh melangkaui kepentingan peribadi dan politik jangka pendek.

Dalam konteks UMNO hari ini, naratif bahawa parti itu semakin lemah sering dimainkan secara terancang. Keputusan Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri termasuk keputusan Pilihan Raya DUN Sabah yang lalu dijadikan senjata politik untuk menanam persepsi bahawa UMNO sedang menuju ke penghujungnya. Hakikatnya, naratif ini bukan lahir daripada analisis jujur tetapi daripada pihak-pihak yang berkepentingan dan takut dengan kebangkitan semula UMNO sebagai kuasa penentu politik negara.

Di sinilah keperluan kepada seorang pemimpin luar biasa menjadi semakin jelas. Seorang pemimpin yang tidak terperangkap dalam jeritan emosi penyokong, tidak goyah dengan ugutan politik dan tidak terpedaya dengan tekanan yang diselindungi atas nama ‘suara akar umbi’.

Hari ini, UMNO ditekan dari dua penjuru. Di sebelah kanan, ada pihak yang mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan kononnya untuk kembali mendapat sokongan pengundi Melayu dengan menyertai gabungan baharu. Tekanan ini sering diiring dengan retorik agama dan kaum, seolah-olah UMNO telah mengkhianati perjuangan asalnya.

Di sebelah kiri pula, muncul kelompok yang mendesak UMNO agar bergerak secara solo, memutuskan semua kerjasama politik termasuk dengan Kerajaan Madani, hanya kerana kehadiran DAP dalam kerajaan. Mereka menjual idea ‘go solo’ sebagai jalan paling suci tanpa menjawab realiti angka, kestabilan negara dan keperluan tadbir urus.

Hakikatnya, kedua-dua tekanan ini berkongsi satu persamaan, mereka lebih mementingkan kepuasan politik sendiri daripada masa depan UMNO dan kestabilan negara.

Di sinilah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) perlu difahami dalam konteks yang lebih besar. PAU bukan medan untuk menzahirkan rajuk, bukan pentas untuk mendesak secara emosional dan bukan gelanggang mengugut kepimpinan. PAU adalah ruang strategik untuk menentukan hala tuju parti Melayu terbesar di dunia ini secara rasional, berfakta dan berasaskan realiti politik semasa.

Keputusan seorang Presiden UMNO tidak boleh diukur hanya dengan populariti sementara atau sorakan perwakilan. Ia mesti dinilai berdasarkan keupayaan memastikan UMNO terus relevan, berpengaruh dan menjadi sebahagian daripada solusi nasional bukan sekadar menjadi penonton atau alat kepada pihak lain.

Sejarah membuktikan, parti yang besar jatuh bukan kerana kalah pilihan raya semata-mata tetapi kerana gagal melahirkan kepimpinan yang berani membuat keputusan sukar demi kelangsungan jangka panjang.

Agenda PAU kali ini jauh lebih besar daripada soal emosi, tekanan atau ugutan politik. Ia tentang masa depan UMNO, masa depan politik Melayu dan kestabilan Malaysia dan untuk itu, hanya kepimpinan yang bijaksana dan berwawasan layak memikul tanggungjawab tersebut.


UMNO tidak memerlukan pemimpin yang pandai memuaskan semua pihak.

UMNO memerlukan pemimpin yang tahu ke mana parti ini harus dibawa walaupun jalannya tidak mudah dan tidak popular.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.