1MDB: Siri Pengakuan Saksi Penting Ditolak


Keputusan Mahkamah Tinggi menyaksikan pertembungan ketara antara keterangan saksi pembelaan dan naratif pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Razak apabila bekas pegawai kanan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa secara tegas menafikan penglibatan bekas Perdana Menteri itu dalam sebarang konspirasi penyelewengan dana 1MDB.

Roger, diterbangkan dari Amerika hadir sebagai saksi pembelaan ke-25, memberikan keterangan yang secara langsung mencabar asas dakwaan pendakwaan apabila menegaskan bahawa dalang sebenar skandal berbilion dolar itu ialah Low Taek Jho (Jho Low) bersama bekas rakan sekerjanya, Tim Leissner dan bukannya Najib sebagaimana yang berulang kali digambarkan oleh pihak pendakwaan.

Lebih memeranjatkan, Roger menyatakan bahawa beliau sendiri telah mengangkat amaran awal (red flag) kepada pihak pengurusan Goldman Sachs mengenai pengaruh luar biasa Jho Low, namun struktur kuasa dan keputusan dalam bank pelaburan antarabangsa itu membolehkan individu luar seperti Jho Low terus memacu urusan berkaitan 1MDB tanpa sekatan bermakna.

“Saya telah mengangkat red flag terhadap Jho Low,” akui Roger di mahkamah.

Namun persoalan kritikal yang timbul ialah, mengapa amaran itu tidak diterjemahkan kepada tindakan tegas dan lebih penting mengapa kegagalan institusi kewangan antarabangsa kini seolah-olah dialihkan bebannya kepada seorang pemimpin politik tempatan?

Peguam utama pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa keterangan Roger memecahkan naratif tunggal pendakwaan yang selama ini cuba mengaitkan Najib secara langsung dengan struktur kewangan rumit yang dibina oleh Jho Low. Menurut Shafee, rekod keterangan menunjukkan bahawa keputusan teknikal dan penyusunan bon dibuat dari dalam Goldman Sachs, dipacu oleh Leissner dan dimanipulasi oleh Jho Low tanpa bukti konspirasi langsung melibatkan Najib.

Roger turut mengesahkan bahawa Jho Low adalah individu yang mendekatinya sejak 2009 untuk membuka jalan kepada penglibatan Goldman Sachs dalam 1MDB. Namun, beliau menegaskan bahawa banyak keputusan dibuat tanpa pengetahuan penuh pengurusan tertinggi bank, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang kegagalan tadbir urus korporat di peringkat antarabangsa.

Apabila ditanya mengenai Najib, Roger secara konsisten menolak dakwaan wujudnya perancangan bersama atau arahan langsung daripada bekas Perdana Menteri itu. Sebaliknya, beliau menamakan Tim Leissner yang telah mengaku bersalah di mahkamah Amerika Syarikat, sebagai individu utama yang melaksanakan pelan Jho Low dari dalam sistem kewangan Goldman Sachs.

Ironinya, meskipun keterangan Roger jelas bercanggah dengan tuduhan konspirasi terhadap Najib, pihak pendakwaan memilih untuk tidak menyoal balas saksi tersebut, satu keputusan yang menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan pemerhati undang-undang, adakah kerana keterangan itu sukar dipatahkan atau kerana ia tidak selari dengan naratif yang ingin dikekalkan?

Mahkamah yang bersidang di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut dimaklumkan bahawa Roger kini menunggu rayuan terhadap sabitan kesnya di Amerika Syarikat, selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana kesalahan pengubahan wang haram dan penipuan. Namun sabitan itu tidak mengubah hakikat bahawa keterangannya di Malaysia secara jelas menafikan peranan Najib sebagai konspirator.

Hakikat yang kini terpampang di mahkamah ialah ini apabila saksi utama dari jantung institusi kewangan antarabangsa sendiri menafikan penglibatan Najib, persoalan sebenar bukan lagi tentang siapa yang menyeleweng tetapi mengapa keterangan yang bercanggah dengan naratif pendakwaan terus diketepikan.

Kes 1MDB, yang sepatutnya menjadi medan pencarian kebenaran kini berdepan ujian paling besar sama ada keadilan benar-benar dinilai berdasarkan bukti atau dibentuk mengikut naratif yang telah ditetapkan lebih awal.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.