Wakil Rakyat PAS Berkhutbah Masjid: Majlis Ugama Islam Sabah Sarang PAS?


Amalan wakil rakyat membaca khutbah di mimbar masjid bukan sekadar isu ritual keagamaan, sebaliknya membawa implikasi besar terhadap etika kepimpinan, keadilan institusi dan kematangan demokrasi.

Dalam landskap politik moden, kelebihan ini dengan mudah bertukar menjadi kempen politik secara tidak langsung, tersusun, berpanjangan dan sukar dikesan secara terbuka.

Bayangkan seorang wakil rakyat berdiri di mimbar masjid sepanjang satu penggal, membaca khutbah dan ada kalanya tanpa teks rasmi sambil menyelitkan naratif yang membina imej diri sebagai tokoh paling layak, paling berautoriti dan paling “sempurna” untuk memimpin.

Tanpa sedar, khalayak dibentuk dengan persepsi halus, “Hebatnya dia, boleh baca khutbah, boleh jadi imam, orang lain tidak.” Inilah doktrin senyap yang berfungsi sebagai kempen berterusan, menggunakan ruang ibadah sebagai pentas legitimasi politik.

Fenomena ini menjadi lebih ketara apabila diteliti melalui kes Aliakbar Gulasan. Selepas memenangi pilihan raya, beliau tampil membaca khutbah di mimbar masjid atas kapasiti sebagai wakil rakyat.

Tindakan ini segera menimbulkan persoalan serius tentang pemisahan peranan antara politik dan institusi agama, khususnya apabila rekod kempen PAS sendiri sebelum itu sarat dengan serangan keras dan naratif agresif terhadap pihak lawan.


Ketika kempen di Karambunai, jentera dan penceramah PAS dikerahkan dari seluruh negara dengan membawa pelbagai mesej politik. Namun, sebaik sahaja berada di mimbar masjid, nada berubah sama sekali kononnya dengan seruan “perpaduan” dan “kembali bertaut” dilaungkan, seolah-olah segala luka politik yang dicipta sebelum ini tidak pernah wujud. Percanggahan ini menimbulkan persoalan keikhlasan dan kejujuran moral.

Lebih membimbangkan, perjalanan politik Aliakbar sendiri memperlihatkan percanggahan prinsip yang ketara. Sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau menerima lantikan sebagai ADUN lantikan. Semasa kempen, beliau menentang GRS. Namun selepas pilihan raya, beliau bersetuju menyertai kerajaan negeri walaupun Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan secara rasmi bahawa beliau akan berada di blok pembangkang. Keputusan tersebut tetap diabaikan oleh pimpinan PAS pusat, termasuk Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Situasi ini menimbulkan persoalan yang wajar dan tidak boleh dielakkan, adakah setiap keputusan ini digerakkan oleh prinsip perjuangan atau oleh kepentingan jawatan dan kedudukan?

Persoalan menjadi lebih serius apabila dikaitkan dengan keterlibatan Aliakbar dalam struktur Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), serta spekulasi tentang harapan untuk kekal atau dilantik ke jawatan Lembaga MUIS itu sendiri?

Aliakbar masih belum menjawab, benarkah beliau dikatakan memegang jawatan Pengerusi anak syarikat milik Kerajaan PAS Terengganu? Berapa banyak lagi ‘income’ yang Aliakbar inginkan?

Dalam keadaan ini, MUIS tidak boleh terus berdiam diri. Institusi agama mesti kekal adil, bebas dan berwibawa, serta tidak sesekali dilihat menjadi alat legitimasi politik mana-mana individu atau parti.

Masjid dan mimbar khutbah adalah ruang suci untuk penyatuan ummah, bukan medan kempen terselindung atau pentas pembinaan imej politik peribadi.

Warga Karambunai yang memilih beliau juga perlu mendapat jawapan tepat, Aliakbar Gulasan sebenarnya calon PAS atau Perikatan Nasional? Lebih penting daripada itu, di manakah garis pemisah antara amanah agama dan kepentingan politik?

Jika institusi agama gagal menegakkan keadilan, ketegasan dan prinsip berkecuali, kepercayaan rakyatlah yang akan menjadi korban dan kerugian itu jauh lebih besar daripada sekadar persaingan politik.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.