Cubaan ‘pengulas ekonomi celup’ PAS Pahang (video) menampilkan diri kononnya serba tahu tentang ekonomi begitu memualkan apabila hujah yang dibawa bukan sahaja cetek, malah mengelirukan.
Tafsiran mereka terhadap “pendapatan Pahang” yang didakwa tidak berubah selama empat tahun berturut-turut jelas memperlihatkan kegagalan memahami asas pengurusan fiskal dan dinamik hasil negeri.
Membina persepsi bahawa pendapatan negeri tidak berkembang hanya kerana ia datang daripada sumber yang hampir sama setiap tahun adalah satu simplifikasi melampau. Lebih membimbangkan, naratif ini dibina dengan gaya seolah-olah ia analisis ekonomi serius, sedangkan hakikatnya ia sekadar retorik politik murahan.
Petikan kenyataan bahawa “tiada perkembangan hasil dan semuanya stabil sejak cukai dinaikkan pada 2020…” mendedahkan kekeliruan asas antara kestabilan pendapatan dan kemandekan atau ekonomi tidak berkembang. Dalam pengurusan kewangan awam, kestabilan hasil adalah indikator penting kepada kecekapan pentadbiran, disiplin fiskal dan keupayaan kerajaan negeri mengurus risiko ekonomi jangka panjang.
Contohnya mudah dan tidak memerlukan ijazah ekonomi. Jika pendapatan negeri meningkat daripada RM1 bilion kepada RM1.3 bilion, pertambahan RM300 juta atau 30 peratus itu bukan angka kecil. Dari sudut nilai sebenar, ia mencerminkan keupayaan kerajaan negeri memperkukuh asas hasil secara konsisten. Namun, bagi pengulas yang gemar bermain persepsi, kenaikan yang stabil ini cuba dikelirukan sebagai “tiada peningkatan” hanya kerana ia tidak bersifat dramatik atau bermusim.
Lebih signifikan, pertambahan RM300 juta secara berterusan jauh lebih bermakna berbanding pola pendapatan yang naik-turun tanpa hala tuju jelas. Pendekatan mengejar lonjakan kosmetik semata-mata tanpa kestabilan struktur hanya akan mendedahkan ekonomi negeri kepada kegagalan jangka sederhana dan panjang.
Jika logik cetek seperti yang dibawa oleh ‘Pengulas Ekonomi Celup’ ini dijadikan asas tadbir urus, tidak mustahil ekonomi negeri akan terjerumus ke dalam perangkap populisme fiscal iaitu kelihatan rancak di atas kertas tetapi rapuh dari segi asas.
Lebih ironik, rekod pemerintahan PAS sendiri tidak membantu naratif yang cuba mereka bina. Kelantan, selepas hampir empat dekad di bawah PAS, masih gagal menunjukkan lonjakan ekonomi yang meyakinkan. Kedah, Terengganu dan Perlis pula kerap berada dalam kelompok tercorot bagi pelbagai indikator pembangunan dan ekonomi. Ini bukan tohmahan politik tetapi fakta yang direkodkan secara konsisten.
Kritikan terhadap bajet dan dasar ekonomi sememangnya wajar dalam sebuah demokrasi matang. Namun, kritikan itu menuntut kefahaman asas, kejujuran intelektual dan rasa tanggungjawab terhadap fakta. Tanpa elemen-elemen ini, PAS bukan sahaja gagal berfungsi sebagai pembangkang yang berwibawa, malah semakin terperangkap dalam sindrom yang kian ketara, tidak tahu tetapi mahu kelihatan paling cerdik.
Tidak mustahil juga naratif ekonomi yang mengelirukan ini sengaja dimainkan untuk mengalih perhatian daripada kelemahan pentadbiran PAS di negeri-negeri yang mereka kuasai, termasuk isu kenaikan caj air dan beban kos sara hidup yang terus menghimpit rakyat di negeri yang mereka tadbir.
Akhirnya, rakyat tidak memerlukan pengulas ekonomi celup yang bermain angka tanpa konteks. Yang diperlukan ialah wacana matang, berpaksikan fakta dan berpandangan jauh demi memastikan pengurusan ekonomi negeri benar-benar mampan, bukan sekadar bahan propaganda politik.

Comments
Post a Comment