UEC: Rafizi Bukanlah Cerdik Sangat


Nama Rafizi Ramli sering disebut sebagai antara tokoh yang berpotensi memegang jawatan Menteri Pendidikan. Malah, beliau sendiri pernah menyatakan minat terhadap portfolio tersebut. Namun pendirian beliau dalam isu pengiktirafan UEC secara jelas menimbulkan persoalan besar terhadap tahap kefahaman beliau mengenai asas sebenar sistem pendidikan negara.

Dalam dasar pendidikan Malaysia, terdapat tiga teras yang tidak boleh dikompromi iaitu Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama, kurikulum kebangsaan yang seragam dan sistem peperiksaan kebangsaan yang bersepadu.

Ketiga-tiga elemen ini membentuk asas pembinaan identiti negara, kesamarataan peluang dan perpaduan nasional. Sokongan Rafizi terhadap UEC menunjukkan kegagalan beliau membezakan antara keperluan penguasaan bahasa dengan legitimasi satu sistem peperiksaan yang berada di luar kerangka nasional.


Isu UEC bukan soal menolak penguasaan Bahasa Mandarin. Tiada sesiapa yang menghalang, apatah lagi menentang usaha memperkukuh keupayaan anak-anak Malaysia menguasai pelbagai bahasa termasuk Mandarin yang diakui penting dalam konteks ekonomi global. Hakikatnya, penguasaan bahasa asing sentiasa digalakkan dalam sistem pendidikan negara dan tidak pernah dianggap ancaman.

Namun, menyokong UEC atas alasan memperkasa Bahasa Mandarin adalah hujah yang lemah dan mengelirukan. Jika benar keutamaan beliau ialah penguasaan bahasa tersebut maka pendekatan yang lebih bertanggungjawab ialah memperkukuh pengajaran Bahasa Mandarin dalam sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan, menambah bilangan guru terlatih serta meningkatkan jam pembelajaran secara sistematik dan inklusif. Inilah jalan penyelesaian yang selari dengan dasar negara, bukan mengabsahkan sistem peperiksaan yang terpisah daripada kerangka nasional.

UEC bukan sekadar isu akademik tetapi menyentuh soal kedaulatan perlembagaan dan undang-undang negara. Ia bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 serta Akta Pendidikan 1996 yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan Malaysia. Mengabaikan hakikat ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan hujah, malah memperlihatkan kegagalan memahami tanggungjawab dasar di peringkat nasional.

Seorang Menteri Pendidikan bukan sekadar perlu popular atau petah berhujah tetapi mesti memiliki kefahaman mendalam tentang prinsip, undang-undang dan hala tuju pendidikan negara. Dalam isu UEC, Rafizi Ramli telah memperlihatkan sebaliknya. Persepsi kebijaksanaan tidak boleh menggantikan kejelasan dasar dan minat terhadap jawatan tidak bermakna layak memikul amanah sebesar itu.

Sehingga ke saat ini, tiada pihak pun yang berani membawa isu UEC ke mahkamah, anda pun tahu kenapa.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.