Perdebatan mengenai pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) terus menjadi polemik nasional yang tidak pernah berakhir. Walaupun ia berkait rapat dengan sistem pendidikan, isu ini kini beralih menjadi modal politik, terutamanya oleh pimpinan DAP yang secara konsisten menjadikannya tuntutan utama dalam setiap fasa perubahan politik negara.
Di tengah-tengah tekanan ini, persoalan asasnya tetap sama, adakah UEC selaras dengan kerangka dasar pendidikan nasional dan objektif pembinaan negara bangsa?
Jawapannya, dengan jelas, tidak.
Menurut Pusat Kajian & Penyelidikan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), UEC diperkenalkan oleh Dong Jiao Zong pada tahun 1975, beroperasi sepenuhnya di luar Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK).
Silibus dan kaedah penilaiannya tidak mematuhi Akta Pendidikan 1996 yang menuntut satu sistem pendidikan nasional sebagai tunjang perpaduan. Pengiktirafan terhadap sijil yang bergerak di luar kerangka nasional bukan sekadar isu teknikal tetapi menyentuh asas pembentukan identiti bersama rakyat Malaysia.
Lebih membimbangkan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak diutamakan di dalam sistem UEC, bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Mengiktiraf UEC dalam keadaan ini hanya melemahkan status institusi awam dan fungsi pendidikan sebagai wahana pembinaan identiti nasional yang inklusif.
Dari sudut perpaduan, UEC lahir daripada sistem pendidikan yang terpisah dan eksklusif. Ketika Malaysia berusaha membina model pendidikan integratif, tuntutan pengiktirafan UEC mengesahkan idea bahawa pemisahan pendidikan mengikut kaum adalah sesuatu yang normal dan patut diraikan. Ini bertentangan dengan aspirasi penyatuan nasional yang telah digerakkan sekian lama.
Tambahan pula, UEC tidak menyamai standard penilaian nasional seperti SPM, STPM atau Matrikulasi. Ia diurus oleh pertubuhan berdaftar bawah ROS, bukannya badan peperiksaan negara yang mempunyai mekanisme kawal selia akademik. Tanpa penyeragaman standard, mustahil memastikan keadilan dalam proses kemasukan ke IPTA, terutamanya apabila pelajar UEC tidak mengambil subjek wajib seperti Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahap setara SPM.
Lebih penting, pendidikan bukan sekadar laluan akademik tetapi alat pembentukan identiti nasional.
UEC tidak berkongsi objektif tersebut, sebaliknya membentuk sistem dan identitinya sendiri yang terasing daripada kerangka pembinaan bangsa Malaysia. Pengiktirafan terhadap UEC membuka pintu kepada penghakisan aspirasi jangka panjang pembinaan negara bangsa.
Kenyataan terkini pemimpin DAP mengukuhkan hakikat bahawa tuntutan UEC bukan lagi persoalan akademik, tetapi agenda politik.
Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP, menegaskan bahawa isu UEC “tidak pernah padam” dalam agenda parti dan mereka akan terus mendesak supaya ia diselesaikan dengan "dasar bahasa baharu" serta pendekatan yang lebih komprehensif. Desakan ini disuarakan walaupun menyedari kepekaan politik di Semenanjung.
Nga Kor Ming, Naib Pengerusi DAP, turut membuat pengumuman terbuka bahawa beliau akan membawa permintaan rasmi kepada Perdana Menteri untuk mengiktiraf UEC. Kenyataan itu dibuat dalam sebuah majlis pengumpulan dana di sekolah Cina menunjukkan isu pendidikan terus dieksploitasi dalam platform politik dan kemasyarakatan.
Kedua-dua kenyataan ini menunjukkan tuntutan terhadap UEC bukan berpaksikan keperluan sistem pendidikan nasional tetapi lebih kepada strategi mengekalkan sokongan politik komuniti tertentu. Ia sekali lagi membuktikan bahawa pengiktirafan UEC bukan tuntutan pendidikan tetapi ia adalah ‘alat’ tekanan politik.
Malaysia memerlukan sistem pendidikan tunggal yang kukuh, adil dan selaras dengan aspirasi negara. UEC, dalam bentuk dan pendekatannya hari ini tidak memenuhi syarat itu. Untuk melindungi integrasi nasional, memastikan keadilan untuk pelajar arus perdana, dan memelihara identiti bersama, negara tidak boleh tunduk kepada tekanan politik yang berasaskan tuntutan golongan berkepentingan.


Comments
Post a Comment