Dalam kemelut politik yang melanda Sabah pasca keputusan PRN ke-17, satu mesej besar yang perlu rakyat Sabah fahami iaitu kepimpinan tertinggi negeri dan Persekutuan memilih jalan kestabilan dan bukan pertaruhan berisiko yang boleh menggugat masa depan Sabah.
Menurut sumber politik negeri, TYT Sabah dilaporkan menasihatkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor agar tidak membentuk kerajaan yang bergantung kepada hanya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.
Pandangan itu difahamkan berlandaskan satu prinsip mudah, kerajaan yang bergantung pada angka rapuh tidak mampu menjamin kestabilan jangka panjang.
Pendekatan ini selari dengan amalan demokrasi matang di mana keputusan kerajaan mesti berpaksikan mandat jelas, legitimasi kerajaan tidak boleh bergantung kepada angka yang boleh bertukar pada bila-bila masa dan Sabah memerlukan pentadbiran yang stabil bagi memacu ekonomi, pelaburan dan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
Dalam masa sama, polemik tercetus susulan tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali yang dilaporkan seolah-olah menolak hala tuju pembentukan kerajaan yang dibentuk pada hari ini.
Respon awal Armizan nampak 'keras' dan terbuka di media sosial turut mencetuskan persoalan tentang prinsip Armizan itu sendiri, sekali gus nampak mengganggu usaha menyelaraskan pembentukan kerajaan baharu Sabah hari ini.
Tindakan Armizan dilihat tidak selari dengan kepentingan kestabilan negeri. Namun sumber menjelaskan Armizan mendapat teguran dari TYT dan akhirnya akur.
Dalam konteks lebih besar kerjasama kerajaan Persekutuan–Negeri hanya dapat berfungsi efektif jika kerajaan negeri stabil, proses pentadbiran tidak berubah setiap kali berlaku pergolakan dan mandat rakyat dihormati melalui pembentukan kerajaan yang jelas dan tersusun.
Gelombang politik Sabah sentiasa unik, namun satu perkara kekal konsisten, rakyat mahu kerajaan yang kuat, stabil dan mampu mentadbir dengan fokus.
Tindakan segelintir pemimpin yang bertindak di luar kerangka rundingan hanya menambah tekanan dan tidak membantu ke arah pembentukan kerajaan yang stabil.

Comments
Post a Comment