Tuntutan Sulu: Jika Tidak Kerana Kerajaan ‘Parti Malaya’ Mungkin 40% Sabah Turut Hilang


Kemenangan Malaysia dalam kes tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu menegaskan kedaulatan Sabah dan integriti undang-undang negara. Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 dengan alasan tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia. Pihak penuntut Sulu juga diarahkan membayar kos berjumlah 200,000 euro kepada Malaysia.

Keputusan ini menamatkan siri tuntutan berbilion ringgit terhadap negara, sekali gus menangkis percubaan untuk merampas hak dan kedaulatan Sabah. Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Paris menolak pengiktirafan ‘Partial Award’ pada 6 Jun 2023 dan Mahkamah Agung Perancis mengekalkan keputusan itu pada 6 November 2024, menegaskan kedudukan Malaysia dalam arena antarabangsa.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyifatkan kemenangan ini sebagai pencapaian besar bagi undang-undang, maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Kabinet Kerajaan MADANI, pasukan perundangan AGC, Wisma Putra, BHEUU, JPM serta semua agensi kerajaan yang berganding bahu dalam mempertahankan negara.

Kejayaan ini menyorot satu realiti penting iaitu jika kerajaan pusat tidak mengambil langkah berprinsip dan berterusan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah, negara bukan sahaja berisiko kehilangan berbilion ringgit, malah sebahagian besar Sabah mungkin berada di bawah tuntutan pihak luar. 

Tanpa tindakan tegas dan bijak, slogan “Sabah for Sabahan” boleh sahaja berubah menjadi “Sabah for Pinoy”.

Sepanjang perjuangan di Mahkamah Antarabangsa, pemimpin parti tempatan yang kononnya memperjuangkan hak Sabah langsung tidak kelihatan menyuarakan sokongan padu kepada kerajaan pusat.

Ada yang tampil menampung kos atau menyertai proses timbang tara? Sedangkan kerajaan pusat berulang kali mewakili negara di pelbagai forum antarabangsa bagi memastikan tuntutan Sulu tewas di setiap negara.

Ironinya, ramai pemimpin yang kini gemar menjerit “Sabah for Sabahan” juga pernah menjadi sebahagian daripada parti yang sama yang mereka kritik hari ini.

Sejarah kes ini jelas bahawa lapan warganegara Filipina, mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol menuntut pampasan berbilion ringgit terhadap Malaysia.

Pada Mac 2019, mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara. Pada 28 Februari 2022, Stampa mengeluarkan ‘Award Akhir’ berjumlah AS$14.9 bilion tetapi proses itu terbukti tidak sah kerana pelantikan beliau telah dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ itu membuktikan bahawa iltizam #KerajaanMADANI mempertahankan negara berpaksikan prinsip dan undang-undang, bukan sekadar retorik politik. Sabah tetap menjadi sebahagian daripada Malaysia secara sah, maruah dan hak rakyat terpelihara, sementara pihak yang hanya berteriak ‘Sabah for Sabahan’ kini terpaku di luar gelanggang sebenar perjuangan.

Malaysia menegaskan satu perkara jelas iaitu mempertahankan kedaulatan memerlukan tindakan, keberanian, dan kepimpinan berprinsip dan bukan sekadar slogan yang bergema di media sosial.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.