Insiden yang berlaku di tapak projek pemecah ombak dan ini bukan kali pertama, ianya mencetuskan tanda tanya.
Projek Jalan Batu Rakit yang berhampiran sudah dua kali runtuh dan kini satu nyawa pula melayang, satu rekod yang mengundang persoalan serius tentang tahap profesionalisme, audit teknikal serta kebertanggungjawaban pihak yang terlibat.
Pagi tadi, sekitar jam 9.48 pagi, seorang pekerja, Mohd. Rosli Awang, 54, maut apabila bakul besi jengkaut terbalik dan menimpa belakangnya ketika beliau sedang melakukan kerja kimpalan bersama seorang rakan. Walaupun rakan mangsa bertindak pantas mengalihkan bakul besi, nyawa Mohd. Rosli tidak dapat diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin untuk proses bedah siasat.
Namun persoalan yang lebih besar terus tular di kalangan warga setempat, sejauh mana aspek keselamatan dipatuhi, dipantau dan dikuatkuasakan di tapak projek ini?
EXCO Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat, tidak boleh hanya memandang daripada jauh. Penjelasan telus mengenai pelan keselamatan, pengawasan teknikal, serta pihak yang bertanggungjawab mesti disiasat segera.
Rakyat berhak tahu bagaimana sebuah projek awam yang menelan jutaan ringgit boleh berulang kali gagal dan kini mengorbankan pekerjanya.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Terengganu pula perlu tampil dengan laporan lengkap dan bebas, bukan sekadar kenyataan umum.
Adakah prosedur kerja selamat dipatuhi?
Adakah latihan diberi?
Adakah audit keselamatan dilakukan atau sekadar rutin di atas kertas?
Atau lebih buruk, adakah wujud sikap “sambil lewa” yang akhirnya menuntut harga paling mahal iaitu nyawa manusia?
Insiden ini bukan sekadar kemalangan terpencil. Ia adalah cerminan masalah sistemik dalam pengurusan projek, penguatkuasaan keselamatan dan ketelusan terhadap risiko di tapak binaan. Mohd. Rosli Awang layak menerima lebih daripada sekadar statistik, beliau berhak menjadi titik tolak pembaharuan terhadap budaya keselamatan yang sering dipandang ringan.
Projek boleh dibina semula. Infrastruktur boleh diperbaiki tetapi nyawa yang hilang tidak akan kembali. Kerajaan Terengganu juga perlu menjawab sebelum tragedi seterusnya berlaku lagi.

Comments
Post a Comment