'Rider Gate' Dilantik Ejen Transaksi JPJ: Beban Baharu Rakyat?


Keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik Rider Gate Sdn Bhd sebagai ejen kutipan transaksi penting Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menimbulkan persoalan besar tentang keperluan, ketelusan dan keutamaan dalam dasar kerajaan.

Langkah ini dilihat bukan sekadar memperkenalkan pihak ketiga dalam urusan JPJ tetapi turut menambah tekanan kewangan kepada rakyat yang sedang berhadapan kos sara hidup meningkat.

Pengumuman itu melibatkan beberapa transaksi kritikal yang sebelum ini telah pun tersedia dalam aplikasi rasmi JPJ iaitu mySIKAP. Ia merangkumi pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan. Pelik tetapi benar, sistem yang telah diselenggara dengan kos ratusan juta ringgit kini ‘dipintas’ oleh sebuah syarikat baharu.

Lebih membingungkan, hanya beberapa bulan lalu iaitu pada bulan Julai 2025, kerajaan melalui MOT menganugerahkan kontrak RM190.01 juta kepada HeiTech Padu untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf mySIKAP.

Jika rakyat sudah membayar melalui cukai dan kerajaan sudah memperuntukkan ratusan juta untuk memastikan sistem itu terus berfungsi dengan baik, mengapa perlu melantik syarikat luar bagi tujuan sama?

Persoalan siapa yang menikmati manfaat paling besar mula timbul apabila di hari sama kerajaan mengumumkan syarat baharu berkaitan subsidi petrol. Rakyat yang mempunyai saman tertunggak perlu menjelaskan semua bayaran sebelum 31 Disember 2025 atau mereka akan hilang kelayakan untuk menerima petrol pada harga subsidi RM1.99?

Tanpa subsidi, mereka akan dikenakan harga pasaran sama seperti warga asing di stesen minyak?

Di sinilah kesannya menjadi nyata dan berat. Rakyat berpendapatan rendah terpaksa membuat pilihan yang sukar. Golongan berduit tidak menghadapi masalah untuk melunaskan saman dan mereka terus menikmati petrol murah tetapi bagi mereka yang pendapatannya cukup-cukup makan, setiap ringgit ada nilainya. Mereka dihimpit dua pilihan pahit, pertama, bayar samanvtetapi terpaksa mengorbankan belanja sekolah anak, kos persediaan awal tahun atau keperluan asas harian.
Kedua, tidak melunaskan saman tetapi bersedia menanggung beban petrol tanpa subsidi, sesuatu yang boleh menggoncang keseluruhan bajet keluarga.

Keputusan ini dibuat pada waktu yang langsung tidak sesuai. Februari bakal menandakan kedatangan Ramadan, disusuli Aidilfitri. Beban kewangan keluarga Melayu B40 dan M40 semakin meningkat menjelang musim perayaan. Dalam keadaan inilah kerajaan sepatutnya memudahkan urusan rakyat, bukan menambah tekanan.

Sementara keluarga memikirkan bagaimana mahu mengurus perbelanjaan, ada pihak lain yang pasti “tersenyum lebar”. Pelantikan syarikat Rider Gate Sdn Bhd sebagai ejen kutipan transaksi JPJ membuka laluan kepada keuntungan komersial yang lumayan melalui urusan yang sebelum ini boleh dilakukan terus oleh rakyat melalui aplikasi kerajaan.

Keputusan dasar dan perlantikan kontraktor sebegini mengundang persoalan, apakah tujuan utama pelaksanaan ini? Membantu rakyat atau memberi laluan kepada pihak tertentu meraih keuntungan melalui perkhidmatan yang telah pun wujud?

Dalam landskap pentadbiran moden, kecekapan biasanya bermula dengan mengoptimumkan sistem sedia ada, bukan menambah lapisan perantara dan apabila keputusan pentadbiran mula memberi tekanan langsung kepada rakyat berpendapatan rendah, maka wajar dipersoalkan sama ada prinsip keadilan sosial masih menjadi keutamaan.

Rakyat sedang perhatikan, bukan sekadar siapa yang membuat keputusan tetapi siapa yang benar-benar mendapat manfaat daripadanya.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.