Khabar bahawa PAS tidak mampu bergerak bersendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin kerap dimainkan, khususnya oleh pihak yang berkepentingan mengekalkan dominasi dalam kerjasama politik sedia ada. Namun hakikat sejarah dan realiti di lapangan menunjukkan naratif ini dimainkan oleh ‘budak hingusan’.
PAS bukan parti bermusim. Ia wujud jauh lebih awal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR). Malah, sebelum terbentuknya sebarang pakatan pembangkang, PAS telah lama bertanding secara solo, membina jentera akar umbi, memenangi negeri dan mentadbir dengan identiti sendiri. Justeru, dakwaan bahawa PAS akan lumpuh jika bergerak sendirian adalah satu bentuk penafian terhadap sejarah politik negara.
Dalam kalangan penyokong tegar PAS sendiri, mesejnya jelas adalah jangan sesekali meremehkan keupayaan parti itu. Di Terengganu, misalnya, kemenangan calon-calon PPBM tidak boleh dipisahkan daripada peranan besar jentera dan pengundi PAS. Realitinya, tanpa sokongan gerak kerja, rangkaian akar umbi dan undi penyokong PAS, PPBM hampir pasti tidak memperoleh sebarang kerusi di negeri tersebut. Ini bukan sentimen emosi tetapi penilaian berasaskan pengalaman pilihan raya.
Malah, jika diteliti secara lebih menyeluruh, hampir keseluruhan kerusi yang dimenangi PPBM dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini adalah hasil kerjasama strategik dengan PAS. PAS menyediakan tenaga kerja, disiplin jentera dan kesetiaan pengundi manakala rakan kongsi pula menuai hasil dalam bentuk jawatan dan kedudukan. Ketidakseimbangan ini semakin disedari oleh akar umbi PAS yang merasakan sumbangan mereka sering dianggap remeh.
Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, suatu ketika dahulu juga memberi gambaran jelas tentang realiti ini. Beliau secara terbuka mengakui bahawa kerja sebenar di lapangan dilakukan oleh PAS, namun apabila tiba soal jawatan dan pembahagian kuasa, pihak lain pula yang tampil ke hadapan. Kenyataan ini bukan sekadar luahan peribadi tetapi refleksi kepada rasa tidak puas hati yang telah lama berakar.
Dalam keadaan ini, kemungkinan PAS memilih untuk bertanding secara solo dalam PRU16 bukanlah satu tindakan melulu, sebaliknya satu langkah strategik untuk mengembalikan maruah, autonomi dan kejelasan hala tuju parti. Bertanding solo memberi ruang kepada PAS untuk menguji kekuatan sebenar tanpa bergantung kepada rakan yang mungkin lebih menumpang daripada menyumbang.
Persoalan sebenar bukan sama ada PAS mampu pergi solo atau tidak. Soalan yang lebih besar ialah siapa sebenarnya yang paling memerlukan siapa?
PRU16 bakal menjadi medan penentu, bukan sahaja kepada konfigurasi kuasa politik negara tetapi juga kepada nilai kesetiaan, keikhlasan kerjasama dan harga diri sesebuah parti. PAS tampaknya bersedia untuk menjawab cabaran itu sendiri, jika perlu.
Menurut sumber bilik gerakan, PAS dilaporkan hanya bersedia kekal dalam gabungan sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Presiden BERSATU. Baca di SINI.

Comments
Post a Comment