Projek Pemecah Ombak Ragut Nyawa: Ketirisan, Kegagalan Sistemik Dan Keperluan Siasatan Menyeluruh


Bahagian II

Projek pembinaan pemecah ombak di Pantai Kampung Tanjung sekali lagi mencuri tumpuan, namun kali ini dengan tragedi yang jauh lebih berat, seorang pekerja, Mohd. Rosli Awang, 54, maut selepas bakul besi jengkaut terbalik dan menimpa belakangnya ketika beliau sedang melakukan kerja kimpalan.

Rakan setugasnya bertindak pantas mengalihkan peralatan tersebut, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor mengesahkan mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin untuk bedah siasat. Kejadian ini bukan sekadar kemalangan terpencil, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistemik yang lebih besar.

Projek berhampiran sudah dua kali runtuh, kini pula meragut satu nyawa, menimbulkan persoalan mendalam mengenai mutu audit teknikal, kepatuhan keselamatan, profesionalisme kontraktor serta ketelusan dalam pengurusan projek awam.

Penduduk setempat serta pemerhati industri semakin mempersoalkan bagaimana projek bernilai jutaan ringgit boleh berulang kali gagal tanpa pembetulan yang jelas dan apakah kemungkinan wujud unsur ketirisan atau kecuaian yang lebih serius.

Dalam keadaan ini, EXCO Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat turut menjadi perhatian kerana sehingga kini masih belum mengeluarkan penjelasan komprehensif mengenai insiden tersebut. Malah di facebook beliau juga 'kosong'?





Dalam isu yang melibatkan keselamatan pekerja, pengawasan kerajaan, dan perbelanjaan awam, sikap berdiam diri hanya menambah keresahan rakyat. Ketika nyawa melayang, ketelusan bukan pilihan tetapi keperluan.

Justeru siasatan menyeluruh oleh SPRM, Polis, DOSH dan semua agensi berkaitan amat diperlukan.

SPRM mesti meneliti proses perolehan serta kemungkinan salah guna kuasa, Polis perlu mengkaji unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang, manakala DOSH wajib mengemukakan laporan lengkap dan bebas tentang kepatuhan prosedur kerja, latihan keselamatan serta audit risiko di tapak.

Persoalan kritikal juga perlu dijawab segera, adakah pekerja menerima latihan mencukupi, adakah prosedur keselamatan benar-benar dipatuhi dan adakah audit keselamatan dilakukan secara telus atau sekadar rutin di atas kertas?

Tragedi yang menimpa Mohd. Rosli Awang menuntut lebih daripada sekadar angka statistik pada laporan.

Ia mengingatkan bahawa projek boleh dibaiki, struktur boleh dibangunkan semula tetapi nyawa yang hilang tidak akan kembali. Kerajaan Terengganu wajib tampil dengan penjelasan lengkap dan langkah pembetulan menyeluruh bukan hanya menyepi atau membuat kenyataan umum tanpa tindakan konkrit.

Kegagalan bertindak sekarang hanya membuka ruang untuk tragedi seterusnya. Dalam projek awam yang melibatkan dana rakyat, keselamatan mesti menjadi prinsip paling utama dan pihak yang cuai atau culas perlu dipertanggungjawabkan tanpa kompromi.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.