Pendakwaan di Mahkamah Persekutuan hari ini memberi isyarat jelas bahawa episod Syed Saddiq bukan sekadar kecuaian politik tetapi tindakan terancang yang didakwa bermotif untuk menyelamatkan kepentingan peribadi di tengah pergolakan ARMADA.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin berhujah dengan tegas bahawa Mahkamah Rayuan telah tersilap besar apabila melepaskan Syed Saddiq, sedangkan keterangan saksi menunjukkan segala pengeluaran wang ARMADA khususnya RM1 juta, berlaku atas arahan langsung beliau.
Menurut pendakwa, idea bahawa bekas Penolong Bendahari ARMADA akan bertindak sendirian tanpa arahan Syed Saddiq adalah suatu dongeng yang tidak masuk akal, apatah lagi apabila saksi-saksi utama lain turut memberikan gambaran selari bahawa semua arahan datang daripada “orang yang sama”.
Hujahan pendakwaan semakin berisi apabila Datuk Ahmad Akram Gharib menyatakan bahawa penghakiman Mahkamah Rayuan seolah-olah “menggubal undang-undang baru” dengan menukar dana politik menjadi alasan untuk menghapuskan elemen pecah amanah.
Menurutnya, Syed Saddiq membina naratif kononnya beliau berkorban demi perjuangan tetapi tangan yang sama kemudiannya mengalihkan dana amanah ke ruang peribadinya. Pendakwaan menganggap pendekatan Mahkamah Rayuan bukan sahaja longgar, malah memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja boleh menyentuh dana politik tanpa sebarang garis sempadan undang-undang.
Isu pengubahan wang haram pula menjadi titik kukuh pendakwaan, apabila pemindahan RM100,000 ke dalam akaun ASB milik Syed Saddiq dianggap sebagai bukti perlakuan yang memenuhi sepenuhnya niat dan tindakan di bawah undang-undang antipengubahan wang haram. Mahkamah Tinggi, kata pendakwa, telah menilai dengan tepat manakala Mahkamah Rayuan “tersasar” apabila menggugurkan sabitan tersebut.
Lebih tajam lagi, pendakwaan mengaitkan motif di sebalik tindakan Syed Saddiq. Arahan mengeluarkan RM1 juta itu berlaku ketika beliau dikatakan bimbang mengenai perubahan kuasa dalam ARMADA dan episod selepas serbuan SPRM pada 31 Mac 2020 dikatakan memperlihatkan usaha untuk “menyelamatkan duit sebelum ia dirampas”.
Keseluruhan tindakan, dari awal hingga akhir, menurut pendakwa, bukan tindakan spontan atau ‘tersilap prosedur’ tetapi satu rangkaian keputusan sedar yang digerakkan oleh ketakutan politik dan kepentingan peribadi.
Melalui semua hujah tersebut, pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan untuk memulihkan semula sabitan Mahkamah Tinggi dan menamatkan naratif kononnya Syed Saddiq hanyalah mangsa ketidaktentuan politik.
Bagi pendakwaan, bukti menunjukkan sebaliknya, bahawa beliau adalah arkitek kepada keputusan-keputusan yang menjejaskan integriti dana ARMADA. Keputusan kini terletak di tangan panel hakim sementara negara menunggu apakah kisah ini akan ditutup atau dibuka semula dengan noktah yang lebih tegas.

Comments
Post a Comment