PAS Nak Bawa Model Kemajuan Negeri Mana Ke Pahang?


Prestasi ekonomi terbaharu di Pantai Timur membuka persoalan besar tentang hala tuju pembangunan serantau dan lebih penting, tentang kemampuan sesebuah parti mentadbir dengan berkesan. Data menunjukkan jurang pembangunan yang semakin melebar antara negeri bukan sahaja bergantung pada sumber tetapi pada kualiti pentadbiran.

Pahang kekal sebagai pemacu utama ekonomi Pantai Timur dengan nilai ekonomi mencecah RM38.1 bilion, didorong oleh pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pelaburan asing, infrastruktur moden serta pusat ekonomi strategik di Kuantan yang kini bernilai RM20.1 bilion. Kawasan seperti Bentong dan Temerloh turut menyumbang sebagai zon pertumbuhan baharu, memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.

Terengganu pula merekodkan RM25.3 bilion, namun semua maklum bahawa prestasinya sangat bergantung kepada petroleum. Kemaman, dengan sumbangan RM13.9 bilion, kekal sebagai nadi industri minyak dan gas tetapi pergantungan tunggal yang berpanjangan menimbulkan risiko masa depan tanpa kepelbagaian ekonomi, kebergantungan itu hanya menjadi beban jangka panjang.

Kelantan jauh tertinggal dengan RM10.6 bilion, walaupun telah lebih 40 tahun ditadbir parti yang sama. Sumbangan Kota Bharu sebanyak RM5.1 bilion tidak mampu menutup hakikat bahawa negeri itu masih bergelut dengan asas pembangunan yang rapuh, ketiadaan industri berskala besar dan ekosistem pelaburan yang kurang berdaya saing.

Dalam konteks ini, Pahang berada di kelas tersendiri iaitu stabil, berkembang dan konsisten. Terengganu pula tidak cukup stabil untuk dijadikan penanda aras, manakala Kelantan kekal dalam kategori ekonomi perlahan. Maka timbul persoalan yang tidak boleh dielakkan model kemajuan negeri mana sebenarnya yang ingin PAS bawa ke Pahang?

Jika direkodkan prestasi dua negeri yang ditadbir PAS tidak menunjukkan daya saing yang kukuh, adakah Pahang sanggup mengambil risiko mengikuti jejak ekonomi yang lebih perlahan? Adakah PAS Pahang bersedia mengekalkan kestabilan fiskal, pelaburan, bonus penjawat awam dan insentif rakyat yang selama ini diagihkan konsisten oleh Kerajaan BN Pahang?


Lebih menghairankan, pemimpin PAS Pahang sendiri mempersoalkan pemberian bonus kepada penjawat awam sedangkan itu adalah manfaat tahunan yang dinanti dan dihargai ribuan kakitangan kerajaan. Bagaimana parti yang tidak bersetuju dengan dasar kebajikan semasa mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai pelan ekonomi yang lebih baik?

Persoalan ini penting kerana PAS sering gagal menawarkan model rujukan. Apakah contoh negeri yang ingin dijadikan inspirasi? Kelantan? Terengganu yang bergantung pada minyak?

Realitinya, tiada satu pun negeri yang ditadbir PAS menunjukkan prestasi ekonomi yang boleh dijadikan ‘blueprint’ untuk Pahang, negeri yang kini sedang berada pada landasan pertumbuhan jangka panjang.

Jika PAS benar ingin menjadi pembangkang yang berwibawa, mereka harus mengemukakan model pembangunan yang munasabah, bukannya retorik tanpa dasar. Politik yang matang menuntut kepintaran bukan pendekatan “masuk air” yang hanya mengundang keraguan rakyat.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.