Pahang Membuka Pintu, Terengganu Mengunci Tanah: Menilai Semula Krisis Felda - Dr Megat Al Imran Yasin
Saya membesar di Bentong, tidak jauh dari Felda Lurah Bilut, di mana tanah Pahang dibuka untuk keluarga miskin dari Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan membina hidup baharu tanpa ditanya dari negeri mana mereka datang.
Di tanah rancangan itulah kami belajar erti berkongsi rezeki dan maruah, sebab itu bila kerajaan negeri Terengganu tergesa-gesa mengugut merampas tanah Felda atas nama “hak negeri”, tindakan itu terasa bukan sekadar pertikaian undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap roh asal Felda yang pernah menyatukan kami sebagai satu keluarga besar.
Felda pada asalnya dibina atas visi penyatuan dan pembangunan rakyat, tetapi tindakan kerajaan negeri Terengganu mengugut merampas tanah Felda hari ini menggambarkan cara fikir yang sempit, terikat sentimen kenegerian dan dendam politik jangka pendek.
Dari perspektif seorang anak Bentong yang membesar berhampiran Felda Lurah Bilut, Felda pertama negara, perkembangan di Terengganu bukan sekadar isu premium atau dokumen tanah, tetapi persoalan sama ada kita masih setia kepada cita-cita asal Tun Abdul Razak untuk membangunkan rakyat tanpa mengira sempadan negeri. Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang, dibuka sebagai skim Felda pertama ketika negara masih bergelut dengan kemiskinan luar bandar dan kekurangan peluang untuk golongan tidak bertanah.
Di situ, tanah negeri Pahang dibuka bukan hanya untuk orang Pahang, tetapi untuk peneroka dari negeri-negeri yang jauh lebih miskin ketika itu seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Mereka datang dengan harapan, diberi lot ladang, rumah dan penempatan tersusun di bawah program Felda yang mengangkat maruah keluarga, bukan sekadar memberi bantuan sementara.
Saya dan arwah bapa sering berkunjung ke rumah arwah Pakcik Salim berasal dari Perlis dengan loghat pekat Perlis sama sana ketika itu ke kebun getah dan hidup dalam komuniti di persekitan Felda yang berhampiran dengan kawasan kampung yang lain iaitu di Kampung Lebu dan Jalan Tras.
Visi besar Tun Razak
Tun Abdul Razak, sebagai arkitek utama Felda dan pembangunan luar bandar, melihat kemiskinan sebagai masalah nasional, bukan isu terpencil satu negeri.
Beliau memilih untuk mengetepikan sentimen kenegerian dan politik sempit demi projek pembangunan tanah berskala besar yang merentasi sempadan.
Di Lurah Bilut, anak-anak Pahang membesar bersama anak-anak peneroka dari seluruh pelusuk negara, bersekolah, bermain bola, menghadiri kelas agama dan membesar di jalan tanah merah yang sama.
Tidak ada siapa yang bertanya “asal negeri mana”, kerana yang lebih penting ialah usaha bersama keluar daripada kitaran kemiskinan.
Sebagai anak kampung di Bentong, pemandangan lori-lori membawa hasil getah dan sawit, suara peneroka berbual dalam loghat pelbagai negeri di kedai kopi, dan persaudaraan yang terbentuk di surau dan masjid mengajar bahawa Felda ialah cerita tentang berkongsi rezeki, bukan mempertahankan “hak negeri” secara sempit.
Pahang memberi tanahnya untuk orang luar tanpa rasa rugi atau cemburu. Anak-anak peneroka dari Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan menjadi rakan sekelas, jiran sebelah rumah, malah keluarga ipar apabila perkahwinan merentasi negeri menjadi lumrah di tanah rancangan.
Ironinya di Terengganu
Dalam konteks itulah, ultimatum kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini dengan notis tiga hari untuk mengosongkan aset di ladang-ladang Felda dan FGV serta ancaman sitaan dan tindakan undang-undang kelihatan amat janggal dan bertentangan dengan roh asal Felda.
Felda dan FGV yang selama ini membangunkan tanah, menyediakan pekerjaan dan menyokong ekonomi setempat tiba-tiba ditonjolkan seolah-olah penceroboh di atas tanah negeri sendiri. Persoalannya: di manakah pengiktirafan terhadap puluhan tahun pelaburan, keringat dan pembangunan yang sudah pun mengubah wajah desa Terengganu? Tidak ada sesiapa yang menafikan bahawa isu premium tanah, cukai dan pembahagian hasil antara negeri dan agensi persekutuan perlu diurus dengan betul.
Itu tanggungjawab tadbir urus yang baik. Namun cara menyelesaikannya tidak seharusnya melalui ugutan, notis singkat dan bahasa “pendudukan haram” yang mengguris hati komuniti yang bergantung hidup kepada Felda.
Masalah yang mengambil masa 40 tahun tidak mungkin diselesaikan dengan notis tiga hari. Apa yang lebih munasabah ialah semakan bersama dokumen, rundingan terbuka dan rujukan kepada mekanisme antara kerajaan negeri–Persekutuan yang telah pun wujud.
Pengajaran
Sebagai orang Pahang, pengalaman hidup di Lurah Bilut dan sekitarnya meninggalkan satu pengajaran besar: bahawa negeri tidak pernah rugi apabila sanggup berkongsi tanahnya dengan rakyat negeri lain yang memerlukan.
Pahang tidak menjadi miskin kerana menerima peneroka dari Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan; sebaliknya, Pahang menjadi contoh bagaimana sebuah negeri boleh memimpin projek kebangsaan yang mengangkat maruah rakyat seluruh negara.
Jika itulah semangat yang melahirkan Felda, amat menyedihkan apabila hari ini ada negeri yang melihat Felda melalui lensa curiga dan dendam masa lampau.
Ironinya, Felda yang dahulunya menjadi jambatan antara negeri kini berdepan risiko dijadikan medan pertembungan negeri dan Persekutuan.
Jika generasi pemimpin seperti Tun Abdul Razak mampu mengundang rakyat miskin dari negeri lain ke tanah Pahang tanpa mengira warna bendera negeri, mengapa hari ini ada pemimpin yang tergamak menggambarkan institusi yang sama sebagai beban atau penceroboh di bumi sendiri?
Soalan ini bukan sekadar retorik politik, tetapi persoalan nilai: adakah kita sedang mundur ke belakang dengan memupuk semula politik kenegerian yang pernah cuba dihapuskan melalui projek seperti Felda?
Masa depan penduduk dan anak muda
Di lapangan, generasi muda Felda sudah pun berdepan cabaran besar – dari soal pekerjaan, ketidakpastian harga komoditi, hinggalah kepada tekanan untuk berhijrah ke bandar. Krisis rampasan tanah dan ugutan pengosongan hanya menambah satu lagi lapisan kegusaran: jika tanah yang selama ini menjadi sumber rezeki keluarga pun boleh dipersoalkan statusnya atas alasan politik, di mana lagi mereka harus berpaut? Ketika ibu bapa mereka membuka hutan dan menebas belukar pada tahun-tahun awal Felda, mungkin tidak terlintas di fikiran bahawa suatu hari nanti, apa yang mereka bina akan dilihat bukan sebagai sumbangan, tetapi sebagai masalah.
Politik yang sempit dan semangat negeri yang pincang
Apa yang berlaku di Terengganu sepatutnya menjadi peringatan kepada seluruh negara tentang betapa rapuhnya institusi yang kita anggap sudah kukuh jika dibiarkan menjadi mangsa politik jangka pendek. Felda bukan sempurna; banyak aspek pengurusan dan tadbir urus perlu dibetulkan. Tetapi membetulkan kelemahan tidak sama dengan menghakis asas kewujudannya. Memperbaiki Felda memerlukan keberanian untuk memperkukuh mandatnya, bukan melemahkannya dengan melabelnya sebagai penceroboh di atas tanah yang telah dibangunkannya sendiri.
Akhirnya, isu Felda di Terengganu menuntut satu pilihan nilai: sama ada kita mahu meneruskan warisan pemimpin yang membina negara dengan memandang melampaui sempadan negeri, atau kita rela melihat Felda, simbol perpaduan dan mobiliti sosial luar bandar – dikorbankan di altar politik kenegerian.
Dari Lurah Bilut di Bentong, di mana anak Pahang dan anak negeri-negeri miskin suatu ketika dahulu hidup dan membesar sebagai satu keluarga, suara yang lahir hanyalah satu: jangan jadikan Felda penceroboh di tanah air yang pernah dibinanya sendiri.
Ts Dr Megat Al Imran Yasin
Pensyarah,
Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Comments
Post a Comment