Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) yang juga anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan, diumumkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Pengumuman tersebut dimaklumkan sendiri oleh Mohd Naim menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada malam tadi. Dalam kenyataannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas kepercayaan dan amanah yang diberikan.
“Ini bukan sekadar mandat parti tetapi satu tanggungjawab besar yang membawa tuntutan pembelaan dan harapan seluruh rakyat Kinabatangan,” katanya.
Mohd Naim yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan turut meluahkan perasaan peribadi, menyifatkan detik bersejarah itu lebih bermakna sekiranya disaksikan oleh bapanya.
“Alangkah sempurnanya jika momen ini disaksikan oleh bapa saya. Namun Allah lebih mengetahui apa yang terbaik. Takziah dan tahniah ini akan dipikul bersama dan diperjuangkan dengan sepenuh jiwa, kudrat serta keikhlasan,” katanya lagi.
Sebelum ini, UMNO Sabah telah mengenal pasti empat individu sebagai calon berpotensi bagi menghadapi PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan kekosongan kerusi berkenaan.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag menjadi kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026. Penamaan calon dijadualkan pada 10 Januari, manakala pengundian awal pada 20 Januari 2026.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, Bung Moktar Radin berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag, sekali gus meninggalkan legasi politik yang signifikan di Kinabatangan, satu amanah besar yang kini diwarisi dan dipertaruhkan dalam PRK akan datang.

Comments
Post a Comment