Perbuatan sindir menyindir yang melanda kepimpinan MIC hari ini bukan tercetus secara kebetulan, sebaliknya berpunca daripada krisis keyakinan yang dicipta oleh parti itu sendiri.
Video pendek yang tular memetik kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dimanipulasi untuk menyerang beliau, namun hakikatnya serangan tersebut dilihat sebagai cubaan terdesak MIC untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang lebih memalukan.
Hakikat yang cuba disorokkan ialah dakwaan bahawa MIC secara senyap-senyap telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), sebelum ‘kantoi’ dan bertindak membuat rayuan kali kedua. Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan kegagalan kepimpinan MIC mengurus hala tuju politik parti secara bermaruah, malah memperlihatkan sikap tidak jujur terhadap rakan-rakan komponen dalam BN.
Dalam politik gabungan, “trust is the most valuable currency” dan MIC seharusnya bersikap telus dan berterus terang. Jika benar parti itu sudah hilang keyakinan terhadap BN, maka langkah paling berprinsip ialah membuat keputusan secara terbuka bukannya bermain dua watak satu di hadapan rakan gabungan, satu lagi di belakang tabir. Tindakan sedemikian bukan sahaja mengelirukan akar umbi MIC sendiri malah mencalar integriti gabungan yang telah lama dibina.
sanggup edit video penjelasan Zahid
Pendirian Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam isu ini jelas dan tegas. BN tidak boleh terus terikat dengan ketidaktentuan dan permainan politik tidak matang. Jika MIC gagal membuat keputusan yang jelas, BN akan bertindak demi kestabilan dan keutuhan gabungan. Kenyataan ini bukan ugutan tetapi satu prinsip kepimpinan gabungan politik tidak boleh dipimpin oleh parti yang ragu-ragu terhadap komitmennya sendiri.
Ironinya, MIC hari ini bukan dilihat sebagai mangsa keadaan, sebaliknya sebagai pihak yang telah menikam rakan-rakan komponen BN dari belakang. Dalam cubaan menyelamatkan imej sendiri, MIC akhirnya menjerumuskan parti itu ke dalam krisis kredibiliti yang lebih parah. Politik oportunis tanpa prinsip hanya membawa kepada satu Kesimpulan iaitu kepercayaan yang hilang sukar, malah hampir mustahil untuk dikembalikan.
Jika MIC masih mahu kekal relevan, keberanian untuk jujur dan membuat keputusan secara bermaruah adalah langkah pertama. Tanpa itu, episod “menggelupur” ini akan terus menghantui parti tersebut, bukan kerana diserang pihak lain tetapi akibat perbuatan sendiri.

Comments
Post a Comment