![]() |
| Pelik yaa, semua ceria dengan Bossku |
Istilah “kangaroo court” dan “hanging judge” sering digunakan untuk menggambarkan sistem keadilan yang berat sebelah dan telah menetapkan keputusan lebih awal.
Namun, membicarakan atau mengaitkan istilah ini dengan realiti kehakiman di Malaysia bukan sekadar sensitif malah berisiko mengundang pertuduhan menghina mahkamah. Inilah hakikat menakutkan yang semakin jelas melalui beberapa kes berprofil tinggi, khususnya yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 29 Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang memutuskan hukuman penjara Najib dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Tidak lama selepas itu, Najib mendakwa wujud satu addendum diraja yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Melalui pasukan peguamnya, Najib berulang kali menghubungi Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan, namun dakwaan tersebut tidak diendahkan. Akhirnya, isu ini dibawa ke mahkamah. Dua tahun habiskan masa di sini sahaja.
Pada Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib dengan alasan dakwaan mengenai addendum tersebut hanyalah hearsay. Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa afidavit yang dikemukakan tidak boleh diterima kerana bersandarkan maklumat pihak ketiga bukannya pengetahuan langsung. Malah, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut ditolak kerana berpunca daripada maklumat yang diperoleh daripada Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri ketika itu.
Namun pada Januari 2025, Mahkamah Rayuan dengan keputusan majoriti 2–1 membatalkan penolakan tersebut, menyatakan hujah hearsay tidak lagi terpakai berikutan kewujudan bukti baharu.
Ironinya, pada Disember 2025, seorang hakim Mahkamah Tinggi yang lain pula memutuskan bahawa sebarang perintah berkaitan addendum itu adalah tidak sah dari sudut perlembagaan kerana ia tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan.
Kesimpulannya, satu perkara yang sama dilabel sebagai hearsay pada satu masa, kemudian dianggap wujud tetapi tidak sah pada masa lain. Beginilah cara sistem kehakiman Malaysia menangani isu yang berkait rapat dengan titah diraja di mana suatu keadaan yang wajar menimbulkan persoalan serius tentang konsistensi, integriti dan kedaulatan undang-undang.
Dalam kes 1MDB pula, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad. Keputusan tersebut disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, selepas Najib disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Mahkamah menolak sepenuhnya pembelaan Najib bahawa beliau diperdaya oleh pegawai bawahan atau oleh ahli kewangan buruan, Low Taek Jho (Jho Low). Namun, persoalan besar timbul apabila Jho Low, individu yang diakui sebagai suspek utama skandal ini dan didakwa di beberapa negara masih bebas, sementara Najib diheret sebagai satu-satunya figura politik utama yang dihukum.
Lebih membingungkan, di negara-negara lain yang menyiasat dan merampas aset berkaitan 1MDB, Najib tidak pernah dinamakan sebagai suspek utama. Namun di Malaysia, mahkamah memutuskan bahawa keterangan beberapa saksi “kredibel” sudah memadai untuk mensabitkan beliau.
Ironinya, sebahagian besar saksi pendakwaan mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan Jho Low. Jasmine Loo, contohnya, pernah melarikan diri sebelum ditahan di luar negara dan diekstradisi ke Malaysia. Aset beliau dirampas di beberapa negara kerana kaitan dengan 1MDB, namun tetap diangkat sebagai saksi yang “kredibel”.
Tan Sri Zeti Aziz pula, bekas Gabenor Bank Negara, menyaksikan suami dan anaknya diarahkan oleh kerajaan Singapura membayar jutaan ringgit berkaitan urus niaga 1MDB. Walaupun berada di puncak institusi kewangan negara ketika skandal itu berlaku, beliau juga diterima sebagai saksi yang boleh dipercayai.
Inikah wajah sistem kehakiman Malaysia dalam kes berprofil tinggi di mana konsistensi logik sering dikorbankan dan persepsi keadilan menjadi mangsa?
Apabila keputusan berubah-ubah, prinsip undang-undang diputar mengikut konteks dan keadilan dilihat selektif, maka istilah “kangaroo court” dan “hanging judge” tidak lagi berbunyi sebagai penghinaan kosong sebaliknya menjadi gambaran realiti yang semakin sukar dinafikan. Dalam keadaan ini, persoalan sebenar bukan lagi siapa bersalah atau tidak tetapi sama ada sistem kehakiman kita masih layak dipanggil benteng keadilan?

Comments
Post a Comment