Ketua Kampung Payah Basso Keras Keng: Sayonara Peneroka - Dr Megat Al Imran Yasin


Suatu ketika dahulu, Kampung Seri Payah Basso Keras Keng dikenali sebagai kampung pertanian yang makmur, digerakkan oleh semangat gotong-royong serta kepimpinan yang seiring dengan dasar kerajaan.

Infrastruktur dibina, ladang kelompok diwujudkan dan peluang pekerjaan berkembang hasil kerjasama berterusan antara pentadbiran kampung dan agensi berkaitan. Namun landskap itu berubah sejak munculnya ketua kampung baharu yang kini lebih dikenali kerana kontroversi berbanding pencapaian.

Ketua Kampung Payah Basso Keras Keng, tampil dengan retorik kononnya mahu “mengembalikan hak rakyat”. Namun hak yang sering diulang-ulang dalam ucapan beliau kelihatan semakin sempit tafsirannya.

Dalam pertemuan awal bersama pegawai dan wakil agensi, beliau mencetuskan kekecohan apabila mendakwa tanah kerajaan di kawasan tersebut hakikatnya milik keluarganya berdasarkan naratif sejarah peribadi.

Kenyataan itu bukan sahaja mengejutkan penduduk, malah menimbulkan kekeliruan pentadbiran sehingga beberapa urusan ladang dan pembangunan terpaksa dihentikan atas alasan mahu “menyemak semula sempadan sejarah”.

hiasan

Akibatnya, aktiviti ekonomi kampung terjejas. Soalan rakyat tentang peluang pekerjaan dan kelangsungan ladang dijawab dengan sinis, seolah-olah laporan tuntutan tanah menjadi satu-satunya “peluang baharu” yang ditawarkan. Kampung yang dahulunya sibuk dengan kegiatan pertanian kini berdepan kelesuan, sementara kilang yang pernah beroperasi rancak hanya tinggal bangunan berdebu.

Ironinya, ketika kegiatan ekonomi semakin merudum, ketua kampung kelihatan semakin aktif di media sosial. Naratif “melawan sistem” sering diulang, tanpa menjelaskan bahawa sistem yang sama itulah yang sebelum ini membina jalan, prasarana dan kemudahan asas yang dinikmati penduduk termasuk dirinya sendiri.

Sindiran penduduk semakin ketara apabila sebuah video tular menunjukkan beliau meninjau bekas ladang kelompok sambil menjanjikan “projek strategik” yang kononnya menunggu masa, bergantung kepada proses pemilikan tanah atas namanya.

Hari ini, Kampung Seri Payah Baso menjadi gambaran jelas bagaimana kepimpinan yang berasaskan slogan dan kepentingan peribadi boleh meranapkan kemajuan yang dibina selama puluhan tahun. Daripada kampung contoh, ia kini menjadi contoh klasik kegagalan tadbir urus apabila kuasa digunakan untuk membajak naratif, bukan membangunkan rakyat.

Seperti papan tanda di tepi jalan yang kini menjadi bahan sindiran, tanah di Payah Basso Keras Keng mungkin masih subur. Namun tanpa kepimpinan yang berpijak di bumi nyata, idea yang lahir hanya akan terus tersadur dengan keras di kepala, lembik pada hasil.

Comments

Penafian (Disclaimer)

Segala maklumat yang dikongsi di laman ini adalah untuk tujuan maklumat umum sahaja. Walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang disampaikan, pihak kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan, kekeliruan, atau kerugian yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat tersebut. Sebarang bahan poster, pautan ke laman pihak ketiga hanya untuk kemudahan pengguna dan tidak bermakna kami mengesahkan kandungan di laman berkenaan. Pengguna digalakkan untuk membuat semakan dan pertimbangan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan maklumat yang terdapat di sini.