Keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di 42 kerusi DUN Sabah pada PRN Sabah ke-17 kini dilihat sebagai kesilapan strategik paling kritikal yang menjerumuskan gabungan itu ke arah kekalahan.
Menurut penganalisis politik serta sumber dalaman, tindakan agresif itu bukan sekadar berisiko, malah memperlihatkan kelemahan urus tadbir, perancangan dan kepimpinan yang semakin ketara.
Dari fasa awal pengumuman calon, tanda-tanda kecelaruan sudah jelas. Beberapa pemimpin kanan PN sebenarnya mengesyorkan parti hanya bertanding 10 kerusi selari dengan realiti semasa parti iaitu dana terhad, geografi Sabah yang luas dan mencabar kerja kempen, kekurangan petugas di lapangan kerana dana terhad dan calon-calon baharu yang memerlukan sokongan logistik lebih besar.
Lebih mengejutkan, senarai calon yang sebelum ini diumumkan sebanyak 41 kerusi tiba-tiba meningkat menjadi 42 kerusi hanya sehari selepas pengumuman rasmi.
Perkara ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana PN benar-benar memahami kapasiti mereka sendiri.
Dalam insiden yang dianggap antara paling memalukan adalah pada pagi pengenalan calon, Hamzah Zainuddin dikatakan membawa watikah kosong untuk ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini menandakan senarai calon belum dimuktamadkan walaupun majlis pengumuman sudah diatur, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sebuah pilihan raya utama.
Seperti yang dijangka, menurut sumber dalaman, Muhyiddin sendiri tidak berpuas hati dengan peranan Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya PN Sabah.
Menurut sumber lagi, pada hari pengumuman calon, satu lagi kecacatan strategik berlaku iaitu tiada biodata calon disediakan. Dalam mana-mana pengenalan calon profesional, profil lengkap biasanya menjadi elemen wajib. Tanpa maklumat asas, calon-calon PN terpaksa diperkenalkan secara ‘kosong’, menyebabkan majlis rasmi gabungan itu kelihatan tidak teratur dan tidak meyakinkan.
Malah keadaan menjadi lebih pelik apabila Hamzah memilih untuk membuka “Bilik Gerakan Utama Kedua” di The Cloud @ Imago, bukannya menggunakan Bilik Gerakan Utama PN di Aeropod.
Lebih mengelirukan, bilik gerakan ini tidak boleh diakses semua pihak. Ia dikatakan khusus untuk satu kumpulan rahsia dipanggil “Team White House”?.
Tambah sumber, petugas akar umbi mendakwa mereka diketepikan daripada maklumat penting dan ini menyebabkan jentera hilang arah, keyakinan serta disiplin operasi.
Sumber dalaman mengesahkan bahawa setiap calon dijanjikan peruntukan RM500,000? Tetapi realitinya mereka hanya menerima sekitar RM30,000? angka yang langsung tidak mencukupi untuk kempen di kawasan besar seperti Sabah.
Maka berlakulah banyak bilik gerakan kekurangan minyak, logistik dan poster. Sesetengah petugas memboikot kempen dan alon dibiarkan bergerak sendiri tanpa sokongan operasi asas
Ini bukan lagi masalah pengurusan ia adalah kegagalan struktur organisasi kata sumber.
Dengan semua kekurangan, kecelaruan dan sabotaj dalaman, kenyataan Hamzah bahawa PN kononnya mampu menang 8 hingga 12 kerusi hanya mengundang senyum sinis para penganalisis.
Kekalahan PN bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia hanyalah pengakhiran logik kepada siri keputusan yang tidak realistik sejak hari pertama.
Saifuddin Abdullah sebelum ini menyebut bahawa Muhyiddin kerap berkata “duit tiada” setiap kali peruntukan diminta untuk program parti.
Kini persoalan besar timbul, jika PN tiada dana, wang siapakah yang sebenarnya menggerakkan operasi besar seperti PRN Sabah?

Comments
Post a Comment